16 Julai 2026 – Tinjauan Awal Memahami Ekosistem Hutan Bakau di Johor di bawah Projek Penyelidikan Wellcome-UKM

PONTIAN, 16 Julai 2026 – Gabungan siri mesyuarat penyelidikan, lawatan tapak dan sesi perbincangan bersama agensi kerajaan serta komuniti setempat telah berjaya dilaksanakan di sekitar Daerah Pontian dan Iskandar Puteri, Johor pada 13-16 Julai 2026. Seramai 20 orang penyelidik turut serta di bawah projek Wellcome-UKM: Mangrove Conservation for Planetary Health, termasuk Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim, Prof. Madya Dr. Ahmad Aldrie Amir, Dr. Liyana Yamin, Pn. Maryam Jamilah Mohd Hafiz dan En. Mohamad Fadhirul Amin dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI). Program ini bertujuan untuk meninjau ekosistem hutan bakau dan menjalankan perbincangan strategik yang bertepatan dengan matlamat projek pada peringkat Fasa 1 ini, iaitu mengenali komuniti setempat di kawasan kajian dan kunjungan hormat ke agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam menjaga ekosistem bakau demi kesejahteraan komuniti dan kesihatan persekitaran secara keseluruhan.

Program telah dimulakan dengan lawatan ke Tapak RAMSAR iaitu di Pulau Kukup, Tanjung Piai dan Sungai Pulai. Menerusi lawatan ini, pihak Pengurus Taman, Pejabat Taman Negara Johor (PTNJ) telah berkongsi maklumat dan memberi pendedahan berkaitan pengurusan fasiliti, keunikan flora dan fauna, serta usaha pemuliharaan ekosistem bakau. Aktiviti ini telah menunjukkan kebergantungan antara ekosistem hutan bakau dan kehidupan serta corak sosio-ekonomi komuniti setempat.

Pengisian program bagi hari kedua diteruskan dengan perbincangan interaktif dan kunjungan hormat yang dilaksanakan bersama agensi bertanggungjawab, termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Johor; Pejabat Utama Perbadanan Taman Negara Johor; Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Johor; serta Penghulu dan Ketua Kampung daripada Mukim Jelutong dan Mukim Serkat di Daerah Pontian. Perbincangan bersama komuniti setempat memberi gambaran awal kepada isu-isu utama yang perlu diberi perhatian oleh Kumpulan Penyelidikan Kesihatan; Iklim & Persekitaran; dan Sosioekonomi dalam mengharungi cabaran pembangunan dan pemuliharaan sumber secara lestari serta impak perubahan iklim.

Disediakan oleh PM Dr. Sharina Abdul Halim & Mohamad Fadhirul Amin
16 Julai 2026