16 Jun 2026 – Program Kem Eksplorasi Sumber Air, Langkawi: Pendedahan Kepentingan Air kepada Pelajar Sekolah

LANGKAWI, 16 Jun 2026 – Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-ALAF), UKM dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Langkawi dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menganjurkan satu Program Kem Eksplorasi Sumber Air (Siri 1), bertempat di Kompleks Bangunan PPL dan sekitar Langkawi pada 16 Ogos 2026. Program diadakan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah tentang kepentingan menjaga sumber air dan alam sekitar dan telah disertai oleh sejumlah 60 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru pengiring daripada sekolah-sekolah di Kepulauan Langkawi.

Dalam program ini, En. Norazmi Abdul Kadir dan Cik Nurlina Mohamad Ramzan daripada Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah diundang oleh pihak penganjur sebagai Fasilitator bagi dua slot pembelajaran kuliah interaktif yang diselia oleh En. Nik Mohd Noor Faizul Md Saad (Pengurus Makmal, PPL-ALAF) iaitu ‘Modul 1: Air, Sungai dan Manusia’ dan ‘Modul 2: Lembangan Sungai Anda’. Selain itu, kedua-dua mereka turut berperanan sebagai Fasilitator bagi slot lapangan bertajuk ‘Modul 3: Kualiti Air Sungai’ yang dijalankan di sekitar Air Terjun Telaga Tujuh dan Lubuk Semilang, Langkawi. Program ini merupakan inisiatif berterusan UKM sejak dahulu bagi melahirkan agen perubahan dalam kalangan generasi muda yang lebih peka terhadap isu sumber air dan alam sekitar, khususnya di Langkawi.
Disediakan oleh Norazmi Abdul Kadir & Nazren Leman
16 Jun 2026