19 Okt 2026 – Bengkel FGD Berkaitan Kawalan Kandungan Plumbum di dalam Produk Cat Bersama Pihak Industri

KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2026 – Kumpulan Penyelidikan Universiti Pengurusan Bahan Kimia (KPU CMRG) dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah menganjurkan Focus Group Discussion (FGD) bersama pemegang taruh industri cat di Zecon Hotel, Cheras, Kuala Lumpur. Sesi libat urus strategik ini turut dihadiri oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta wakil syarikat-syarikat pengeluar cat utama di Malaysia. Perbincangan berfokus ini bertujuan meneliti situasi semasa, cabaran teknikal, mekanisme kawal selia, serta hala tuju perundangan bagi mengawal kandungan plumbum di dalam produk cat, khususnya bagi pasaran runcit.

Perbincangan diketuai oleh Ketua KPU CMRG, Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta, bersama ahli penyelidik Dr. Aziemah Zulkifli, Dr. Faezah Esa, dan Encik Mahathir Amir. Hasil dapatan FGD ini bakal menjadi asas penting dalam penyediaan ‘Kertas Putih Pengurusan Plumbum Dalam Cat’, yang menyokong pembuat dasar memantapkan kawal selia bahan kimia bahaya demi melindungi kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar di Malaysia. Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan KPU CMRG dalam memacu penyelidikan berasaskan impak serta pembangunan kapasiti ke arah pengurusan bahan kimia yang selamat dan mampan.

Disediakan oleh Mohamad Mahathir Amir Sultan
19 Oktober 2026