2 Jun 2026 – Lawatan Penandaarasan Amalan Terbaik MBPP bagi Ruang Awam Inklusif dan Bandar Berdaya Huni

GEORGE TOWN, 2 Jun 2026 – Lawatan tapak dan sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) telah dilaksanakan selama dua hari di Pulau Pinang dengan penyertaan seramai 20 orang peserta daripada pelbagai agensi dan pihak berkepentingan. Program yang diterajui oleh Prof. Madya Dr. Nor Zalina Harun dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM ini merupakan sebahagian daripada kajian pembangunan ruang komunal ke arah mencapai bandar berdaya huni yang memberi tumpuan kepada pembangunan ruang komunal, infrastruktur sosial dan amalan terbaik pengurusan ruang awam.

Pada hari pertama, peserta mengikuti lawatan tapak dan taklimat berkaitan model amalan terbaik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), termasuk pendekatan pembangunan ruang awam yang menyokong komuniti rentan seperti warga emas, kebun bandar, taman mesra usia dan golongan gelandangan. Lawatan ini turut meneliti aspek penghijauan bandar, koridor biru-hijau, ruang komuniti dan taman mesra usia.

Pada hari kedua, sesi FGD dijalankan bagi mendapatkan pandangan, pengalaman dan cadangan penambahbaikan daripada peserta. Perbincangan menumpukan kepada adaptasi perubahan iklim, penglibatan komuniti, pengurusan ruang awam dan potensi penerapan model MBPP dalam konteks perumahan serta bandar berdaya huni di Selangor.

Disediakan oleh PM Dr. Nor Zalina Harun
2 Jun 2026