21 Mei 2026 – “Mana Lagi? Melaka Ler…” – Komuniti Wanita Melaka Sambut Baik Inisiatif Aspiring Melaka Geopark

MELAKA, 21 Mei 2026 – Program Kesedaran Awam Kepada Komuniti Wanita Aspiring Melaka Geopark telah dianjurkan oleh Bahagian Khidmat Musaadah & Pembangunan Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Melaka pada 21 Mei 2026, bertempat di Hotel Dusit Princess, Jalan Bendahara, Melaka. Program selama separuh hari ini disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Kalsom Noordin, EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti Negeri Melaka. Inisiatif ini bertujuan bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran dan kefahaman awam mengenai aspek pemuliharaan warisan geologi, alam sekitar serta warisan sejarah dan budaya tradisi, agar pada masa yang sama dapat memperkasa sosio-ekonomi komuniti wanita Melaka melalui keusahawanan dan pelancongan lestari.

Dalam program ini, Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim dan En. Nazren Leman dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah dijemput oleh pihak JKMM sebagai Penceramah dan Fasilitator untuk menyelaras dan menjalankan Sesi Libat Urus Bersama Komuniti Wanita selama sekitar dua jam, sejurus selepas pembentangan oleh Ts. PGeol. Muhammad Mustadza Mazni dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Sembilan/Melaka. Melalui ceramah yang disampaikan oleh Dr. Sharina di hadapan lebih 150 orang komuniti wanita yang hadir, beliau berkesempatan menjelaskan peranan-peranan yang seharusnya dimainkan oleh golongan wanita dalam menyokong aspirasi dan usaha pembangunan lestari Aspiring Melaka Geopark. Beliau turut menggesa agar komuniti wanita untuk bersama-sama terlibat dalam memelihara dan memartabatkan warisan Melaka yang menjadi lambang identiti untuk generasi akan datang.

Seusai perkongsian oleh Dr. Sharina, para peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan persatuan ini dibahagikan kepada lima kumpulan untuk bersama mengupas dan membentang idea berkaitan lima topik yang telah disediakan oleh Dr. Sharina, iaitu: 1) Peningkatan keupayaan, latihan dan kemahiran yang diperlukan; 2) Sokongan institusi, kepimpinan dan penglibatan komuniti; 3) Pembangunan komuniti dan kesejahteraan; 4) Peluang aktiviti pelancongan lestari; dan 5) Pemuliharaan warisan sepanjang zaman secara bersepadu. Para peserta dilihat terlibat aktif dalam perbincangan, berupaya menghasilkan idea yang bermanfaat dan menyampaikan pembentangan dengan menarik dan penuh kreativiti.

Rata-rata peserta dalam kalangan komuniti wanita Melaka ini menyambut baik inisiatif Aspiring Melaka Geopark dan menyatakan keterujaan untuk turut menyumbang kepada usaha pemuliharaan warisan di Melaka. Pada masa yang sama, mereka turut berharap agar pihak Kerajaan Negeri Melaka untuk menyediakan platform dan peluang yang lebih banyak kepada komuniti wanita untuk meningkatkan taraf hidup mereka melalui aktiviti keusahawanan, ekonomi kreatif dan pelancongan lestari.

Disediakan oleh Nazren Leman
21 Mei 2026