22 Mei 2026 – Projek ‘Be-Housing’ Meneliti Cabaran Haba Bandar dalam Kalangan Komuniti Berpendapatan Rendah

RAWANG, 22 Mei 2026 – Siri aktiviti lawatan tapak dan pengumpulan data telah dilaksanakan sejak awal tahun 2026 sebagai sebahagian daripada projek penyelidikan antarabangsa “Comparative Study of Urban Poor Settlements for Urban Heat Adaptation and Inclusive Urban Future in South East Asian Cities”, di bawah kerangka Be-Housing, CLARE-ASEAN (Climate Adaptation & Resilience) Initiative. Kajian yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nor Zalina Harun ini meneliti adaptasi haba bandar dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah dengan matlamat menyokong pembentukan perumahan berdaya huni yang inklusif, selesa dan responsif terhadap cabaran haba bandar. Sebanyak empat sesi lawatan dan pengumpulan data telah dijalankan dari 31 Januari hingga 22 Mei 2026 di Pangsapuri Seri Bakawali, Rawang dan Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya, Selangor.

Objektif siri aktiviti ini adalah untuk mendapatkan data primer berkaitan suhu, pengalaman haba, strategi adaptasi penduduk dan faktor fizikal persekitaran yang mempengaruhi keselesaan terma. Selain kutipan data melalui stesen cuaca, temu bual mendalam, pemerhatian lapangan, dokumentasi foto dan catatan penyelidikan, beberapa sesi taklimat serta pemindahan ilmu turut dilaksanakan bersama komuniti setempat bagi meningkatkan kefahaman tentang isu haba bandar, adaptasi persekitaran dan kepentingan perumahan berdaya huni.

Program ini dianjurkan oleh Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia dengan sokongan enumerator lapangan. Aktiviti ini berpotensi memperkukuh bukti empirikal projek Be-Housing, membina kesedaran komuniti serta menyokong strategi adaptasi haba yang lebih inklusif dan berasaskan komuniti.

Disediakan oleh PM Dr. Nor Zalina Harun
22 Mei 2026