22 Ogos 2026 – Pendidikan Geopark Diperkasa: 23 Modul Dibangunkan Bersama Guru Sekolah Sarawak

KUCHING, 22 Ogos 2026 – Jabatan Hutan Sarawak selaku Badan Pengurusan Sarawak Delta UNESCO Global Geopark dengan kerjasama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan ‘Bengkel Libat Urus dan Pembangunan Modul Pendidikan Geopark bersama Sekolah Geopark’ bagi siri yang ketiga bermula pada 21 hingga 22 Ogos 2026, bertempat di Hotel Imperial, Kuching, Sarawak.

Program dimulakan pada hari pertama dengan penganjuran ‘Bengkel Pembangunan Modul Sekolah Geopark’ yang pertama bersama guruguru Sekolah Kebangsaan St. Patrick Semadang. Dalam bengkel ini, guru-guru SK St. Patrick telah berjaya menghasilkan lima modul yang sangat bertepatan dengan lokasi dan sumber warisan yang telah sedia ada di sekolah tersebut.

Pada keesokkan harinya pula, seramai 61 orang guru dari tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Paku, Sekolah Kebangsaan Taba Sait dan Sekolah Kebangsaan St. Patrick Semadang telah diundang ke Hotel Imperial, Kuching untuk bersama-sama berbincang bagi memperkukuh dan memperhalusi Modul Pendidikan Geopark masing-masing hasil dari bengkel-bengkel yang lalu.

Menariknya pada kali ini, selain dari pemantapan modul, guru-guru sekolah juga turut membangunkan lembaran kertas kerja bagi memberi nilai tambah kepada Modul Pendidikan Geopark yang sedang dibangunkan supaya pengisian aktiviti ilmu bersifat lebih komprehensif dan boleh terus diguna pakai oleh pelajar dan guru sekolah kelak.

Bengkel pada kali ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Tanot Unjah selaku Penasihat Geopark, Sarawak Delta UNESCO Global Geopark dan Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim selaku Timbalan Pengarah LESTARI. Turut membantu pada bengkel ini adalah Puan Ku Adriani Ku Ayob, Pegawai Penyelidik LESTARI; Encik Ferdinand De Franco Yaling, Pegawai Tadbir Jabatan Hutan Sarawak; dan dua orang Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Hutan Sarawak iaitu Cik Farah Najwa Adenan dan Cik Nazmizza binti Narawi.

Turut hadir dalam bengkel tersebut adalah Puan Patricia Anak Dominicus Kamber dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS); Puan Syantinee binti Sarkawi dari Pejabat Residen Bahagian Kuching Sarawak; Encik Lau Yuk Hock dari Pejabat Pendidikan Daerah Padawan; Encik Anek Apok, Pengetua SMK Paku; Puan Nor Hanum binti Abdul Halim, Guru Besar SK Taba Sait; dan Encik Kelvin Govindaraj Krishnan, Guru Besar SK St. Patrick.

Secara keseluruhan, bengkel kali ini mencatatkan hasil yang sangat positif dan memberangsangkan di mana guru guru sekolah telah berjaya memperhalusi dan menghasilkan sejumlah 23 modul geopark dengan pecahan lima modul dari SK St. Patrick, sembilan modul dari SK Taba Sait dan sembilan modul dari SMK Paku. Bengkel seterusnya dijangkakan akan diadakan pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan bagi proses pemurnian modul yang bakal menjadi rujukan untuk pendidikan geopark di sekolah-sekolah sekitar Sarawak Delta UNESCO Global Geopark.

Disediakan oleh Ku Adriani Ku Ayob
22 Ogos 2026