24 Jun 2026 – Kem Pemimpin Muda Prihatin Air Kebangsaan 2026: Pemerkasaan Ilmu ‘Air, Sungai dan Manusia’

BALING, 24 Jun 2026 – UNESCO-IHP Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Program Kem Pemimpin Muda Prihatin Air Kebangsaan 2026, bertempat di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Baling, Kedah. Tema yang dibawa pada kali ini adalah “Air untuk Ekuiti, Kelestarian dan Tanggungjawab Bersama”. Program yang menyasarkan penglibatan pelajar sekolah menengah ini dijalankan bermula dari 21 hingga 24 Jun 2026 dan disertai oleh anggaran 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, guru pengiring dan fasilitator sekitar negeri Kedah dan Perak.

Dalam program ini juga, En. Norazmi Abdul Kadir dan Cik Nurlina Mohd Ramzan daripada Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM turut dilantik sebagai Fasilitator Jemputan bagi menyampaikan perkongsian ilmu berkaitan ‘Modul Pembelajaran: Air, Sungai dan Manusia’ kepada peserta yang hadir. Selain UKM, program ini turut membariskan modul-modul berkaitan sistem penuaian air hujan, kelestarian air, kitaran air dan penjimatan air daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan juga tuan rumah, UUM.
Disediakan oleh Norazmi Abdul Kadir & Nazren Leman
24 Jun 2026