24 Jun 2026 – Virtual Forum 2026 Kupas Hubungan Sains dan Undang-Undang dalam Pemuliharaan Warisan dan Tadbir Urus Geopark

BANGI, 24 Jun 2026 – Seperti kebiasaan, siri Geoheritage and Geopark Virtual Forum di bawah kelolaan Prof. Madya Dr. Tanot Unjah diteruskan lagi pada tahun 2026 sebagai wadah penting di peringkat antarabangsa dalam perkongsian ilmu dan amalan berkaitan pembangunan geopark. Pusat Penyelidikan Geopark (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM sekali lagi berkerjasama dengan Persatuan Geologi Malaysia (GSM); Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL-ALAF), UKM; dan Kumpulan Warisan Geologi Malaysia (KWGM) bagi menjayakan forum atas talian ini yang telah berjaya mengumpan minat dan mengumpulkan lebih daripada 160 peserta dalam kalangan komuniti dan industri serta cerdik pandai, pengamal dan pemegang taruh geopark dari seluruh dunia.

Edisi kali ini membawakan tajuk yang jarang dibahaskan di platform-platform terbuka, iaitu “Science-Law Interface for and in Geoheritage Conservation and Geopark Governance”, dan menampilkan dua pakar dalam bidang, iaitu Dr. Soo Jae Lee dari Korean Global Geoparks Network, Korea Selatan dan Prof. Madya Dr. Ayu Krishna Yullawati dari Universitas Pendidikan Indonesia, selain pakar undang-undang LESTARI sendiri, Prof. Dr. Sarah Aziz Abdul Ghani Aziz sebagai pemudah cara. Kedua-dua panel jemputan yang dibawakan ini tidak lekang berkongsi pengalaman Korea Selatan dan Indonesia tentang bagaimana kerangka dan aplikasi perundangan sama ada yang digubal di peringkat nasional mahu pun undang-undang kecil tempatan diguna pakai dalam pewartaan warisan, pemerkasaan komuniti setempat dan pembangunan geopark itu sendiri.

Walaupun topiknya agak mencabar, rata-rata peserta yang hadir menyatakan keterujaan mereka untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan pendekatan terbaik bagi pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang khususnya dalam membangun dan memperkukuh aspek pemuliharaan warisan di kawasan geopark masing-masing berasaskan sains. Dalam keadaan ilmu sains geopark yang kian berkembang, para peserta mencadangkan agar topik berkaitan perundangan dan tadbir urus geopark diberi perhatian dan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam pelbagai platform demi kesejahteraan umum komuniti geopark di seluruh dunia.
Pautan Rakaman:
https://www.youtube.com/watch?v=kZ8YXRNBx5M&t=2556s
Disediakan oleh Nazren Leman
24 Jun 2026