25 Jun 2026 – Integrasi Sosio-Ekonomi: Mengukuhkan Kerangka Praktikal Demi Kelestarian Paya Bakau

BANGI, 25 Jun 2026 – Bengkel Projek Penyelidikan Wellcome–UKM telah diadakan di Bangi Resort Hotel bagi menetapkan hala tuju strategik dan garis masa bagi projek pendekatan antara disiplin ini yang bertajuk Mangrove Conservation for Planetary Health: Quantifying Climate, Health and Socio-economic Impacts in Protected Mangrove Ecosystems, dengan dana yang diterima dianggarkan sekitar RM10.3 juta. Bengkel ini terlebih dahulu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Hazlin Hazrin Chong dari Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) selaku Ketua Projek, diikuti sokongan penuh daripada Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh dan Dekan FST, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed.

Pasukan sosio-ekonomi dalam bengkel ini membariskan beberapa penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), diketuai oleh Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim dan turut dianggotai oleh penyelidik utama, Prof. Madya Dr. Ahmad Aldrie Amir dan Dr. Zahirah Suhaimi, bersama-sama Dr. Liyana Yamin, Puan Maryam Jamilah Mohd Hafiz, serta Encik Mohamad Fadhirul Amin. Kesemua mereka berganding bahu bagi memastikan struktur Theory of Change dan Needs Assessment yang dirangka adalah lebih menyeluruh dan praktikal. Kesemuanya untuk memastikan kerangka ini boleh diperkukuh dengan pendekatan praktikal yang berasaskan pengalaman sebenar di lapangan. Bengkel ini turut menekankan keperluan kerjasama erat untuk meletakkan pemuliharaan hutan paya bakau sebagai asas dan bukti kepada sokongan dasar dan politik demi memperkukuh kesejahteraan masyarakat serta kelestarian setempat.

Pautan: https://malaysiagazette.com/2026/06/29/ukm-terajui-kajian-antarabangsa-bernilai-rm10-3-juta/
Disediakan oleh Mohamad Fadhirul Amin & PM Dr. Sharina Abdul Halim
25 Jun 2026