27 Apr 2026 – Bukan Sekadar Batuan: Webinar PPG-GGCS-APM Kupas Integrasi Warisan Geopark Asia Pasifik

KAJANG, 27 April 2026 – Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah berjaya menganjurkan Webinar Siri 1/2026 – Integrated Heritage in Asia Pacific Geopark: Linking Landscape, Biodiversity and Cultural Value in Geotourism Products pada 27 April 2026. Webinar ini adalah anjuran bersama rakan industri, Geopark & Geotourism Creative Solutions Sdn. Bhd. dan Kluster Kelestarian dan Kesihatan Bumi, Akademi Profesor Malaysia. Program yang berlangsung secara dalam talian ini menghimpunkan hampir 150 peserta daripada pelbagai sektor, termasuk agensi kerajaan serta swasta, ahli akademik, pelajar dan pemain industri pelancongan dari dalam dan luar negara.

Webinar ini bermatlamat untuk berkongsi pengetahuan dan memberi kefahaman mendalam mengenai konsep warisan bersepadu. Warisan bersepadu merupakan tunjang utama dalam konsep sesebuah geopark. Ia bukan sekadar memelihara tapak geologi, tetapi merangkumi perkaitan antara komponen geologi, biologi serta budaya. Sesi perbincangan dikendalikan oleh pakar geopark dunia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo. Ahli panel terdiri daripada Prof. Dato’ Dr. Mokhtar Saidin, Penasihat Lenggong UNESCO Global Geopark; Prof. Dr. Norhayati Ahmad, Ketua PPG, LESTARI, UKM; dan Puan Meliawati Ang, Pengurus Bahagian Penyelidikan, Pembangunan dan Kerjasama Institusi, Rinjani-Lombok UNESCO Global Geopark.

Secara keseluruhan, melalui maklum balas yang diberikan oleh peserta, program ini berjaya mencetuskan peralihan minda peserta untuk tidak melihat warisan secara berasingan. Peserta kini memahami bahawa kelestarian geopark bergantung kepada keupayaan menceritakan perkaitan antaran bumi, alam dan manusia sebagai satu naratif tunggal.
Disediakan oleh Wan Daraputri Razali
27 April 2026