27 Jul 2026 – Memperkasa Geospatial, Mengukuh Sinergi: LESTARI Perluas Jaringan Kepakaran bersama Pusat Geospatial Negara

PUTRAJAYA, 27 Julai 2026 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta perkongsian kepakaran dalam bidang geospatial melalui penglibatan Prof. Madya Gs. Dr. Nuriah Abd Majid dan Prof. Dr. Ruslan Rainis sebagai Penceramah jemputan dalam ‘Bengkel R&D dan Penulisan Artikel Jurnal Berimpak bagi Pusat Geospatial Negara’.

Program yang berlangsung pada 27 Julai 2026 di Menara PETRA, Putrajaya ini dianjurkan oleh Pusat Geospatial Negara (PGN), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES). Penglibatan LESTARI dalam program ini mencerminkan komitmen institut dalam menyumbang kepakaran akademik dan penyelidikan kepada agensi kerajaan, khususnya dalam memperkukuh kapasiti penyelidikan dan penerbitan dalam bidang geospatial.

Selain itu, bengkel ini turut menjadi platform bagi memperluas jaringan strategik antara institusi akademik dan agensi kerajaan, di samping menggalakkan perkongsian ilmu, kepakaran dan amalan terbaik dalam penyelidikan serta penerbitan ilmiah. Kerjasama seperti ini berpotensi menyokong penghasilan penyelidikan yang lebih berimpak, relevan dan selaras dengan keperluan strategik negara.
Disediakan oleh PM Gs. Dr. Nuriah Abd Majid
27 Julai 2026