30 April 2026 – Memperkasa Pendidikan Geopark: LESTARI UKM dan Jabatan Hutan Sarawak Perhalusi Modul Pendidikan Geopark Bersama Sekolah Geopark

KUCHING, 30 April 2026 – Jabatan Hutan Sarawak dengan kerjasama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Bengkel Libat Urus Pembangunan Modul Pendidikan Geopark bersama Sekolah Geopark pada 29 hingga 30 April 2026 di dua buah sekolah yang terletak di daerah Bau dan Padawan, Sarawak. Program ini bertujuan memperkukuh dan memperhalusi hasil perbincangan yang telah diadakan pada 4 hingga 5 Mac 2026 yang lalu hasil daripada aktiviti perbincangan bersama guru-guru dari SMK Paku dan SK Taba Sait, seterusnya menambah baik cadangan kandungan bagi pembangunan Modul Pendidikan Geopark yang lebih komprehensif dan bersesuaian dengan keperluan sekolah geopark.

Bengkel dan lawatan tapak ini diterajui oleh Prof. Madya Dr. Tanot Unjah selaku Penasihat Geopark, Sarawak Delta UNESCO Global Geopark; Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim selaku Timbalan Pengarah LESTARI; Puan Ku Adriani Ku Ayob, Pegawai Penyelidik LESTARI UKM; serta dua Pegawai Tadbir daripada Jabatan Hutan Sarawak iaitu Puan Niny Anak Rayer dan Encik Ferdinand De Franco Yaling. Program dimulakan pada pagi 29 April 2026 dengan lawatan tapak di Paku Rock Maze Garden, Bau, Sarawak bagi memberi khidmat nasihat berkaitan geowarisan dan elemen pendidikan geopark yang boleh dimanfaatkan dari sudut pelancongan serta pembangunan modul pembelajaran sekolah. Sepanjang lawatan tapak ini, taklimat diberikan oleh Kapitan Pui Shak Sin, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kawasan Paku.

Pada sebelah petang pula, sesi Bengkel Libat Urus bersama pihak pengurusan sekolah dan guru-guru SMK Paku telah diadakan bagi mendapatkan pandangan, input serta cadangan penambahbaikan kandungan modul pendidikan yang telah dicadangkan. Bengkel ini mendapat penglibatan penuh dari guru-guru sesi pagi serta Pengetua SMK Paku, Encik Anek Apok. Turut hadir dalam bengkel tersebut adalah empat wakil dari Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Puan Elizabeth Anak Robinson Rusbail, Encik Philip Neri Ajon, Dr. Nur Azima Busman dan Puan Jicqueline Ratai. Manakala wakil dari Pejabat Residen Bahagian Kuching (RBK) pula adalah Abang Shahrailey Abg Urainuddin dan wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) adalah Puan Caroline Rosita anak Jones Hery.

Pada 30 April 2026, program diteruskan dengan lawatan ke SK St. Patrick Semadang yang terletak dalam daerah Padawan, Sarawak. Lawatan tapak ini diketuai oleh Guru Besar SK St. Patrick, En. Kelvin Govindaraj Krishnan bagi melihat potensi sekolah ini untuk dijadikan Sekolah Geopark. Pada sebelah petang pula, Bengkel Libat Urus diteruskan kali ini bersama pihak pengurusan sekolah dan guru-guru SK Taba Sait. Bengkel dihadiri oleh lebih kurang 20 orang guru SK Taba Sait, diketuai oleh Guru Besar, Puan Nor Hanum binti Abdul Halim.

Penganjuran program ini diharapkan dapat memperkukuh kerjasama strategik antara institusi akademik, agensi kerajaan dan sekolah dalam usaha memperkasakan pendidikan geopark di Sarawak Delta UNESCO Global Geopark. Selain itu, pembangunan Modul Pendidikan Geopark ini juga dijangka dapat meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan pemeliharaan warisan geologi, biodiversiti dan budaya tempatan secara mampan.
Disediakan oleh Ku Adriani Ku Ayob
30 April 2026