4 Sep 2026 – Memperkasa Pegawai Perkhidmatan Awam Malaysia dalam Pengurusan Bencana Melalui DMP2026

BAYAN LEPAS, 4 September 2026 – Comprehensive Disaster Management Programme 2026 (DMP26) merupakan inisiatif pembangunan kapasiti Malaysia-Jepun secara intensif yang dirangka bagi memperkukuh kompetensi pegawai dalam perkhidmatan awam Malaysia dalam aspek kesiapsiagaan bencana, respons, tadbir urus, daya tahan dan pemulihan bencana. Program ini menyediakan satu perjalanan pembelajaran yang komprehensif kepada peserta melalui pendedahan kepada lapan bidang utama pengurusan bencana dan 47 operasi respons bencana. Penekanan diberikan kepada aspek koordinasi pelbagai agensi (multi-agency coordination), tadbir urus berasaskan bukti (evidence-based governance) serta penyesuaian dan pelokalan amalan pengurusan bencana agar bersesuaian dengan konteks Malaysia.

Dalam program yang dijalankan pada 4 September 2026 di Iconic Marjorie Hotel, Pulau Pinang ini, Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad, Ketua Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) berperanan sebagai penceramah dengan menyampaikan perkongsian ilmu berdasarkan kepakaran beliau dan pengalaman penyelidikan dalam bidang pengurangan risiko bencana (DRR) dan pengurusan bencana. Penyertaan dalam DMP26 berpotensi memberi impak positif dalam memperkukuh hubungan strategik antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi kerajaan berkaitan. Program ini turut meningkatkan keterlihatan kepakaran UKM dalam bidang pengurusan risiko bencana serta membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pengalaman secara langsung dengan pegawai kerajaan.
Disediakan oleh Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad
4 September 2026