5 Mac 2026 – Perkongsian Ilmu Kedinamikan dan Resiliensi Hutan Paya Bakau Bersama Jabatan Hutan Sarawak

5 Mac 2026 – Jabatan Hutan Sarawak telah menganjurkan satu ‘Bengkel Perkongsian Ilmu: Perspektif Saintifik Berkenaan Strategi Pengurusan dan Pemeliharaan Ekosistem Hutan Paya Bakau’, bertempat di Pullman Hotel, Kuching, Sarawak. Bengkel selama satu hari ini dirasmikan oleh YBhg. Datu Haji Hamden Haji Mohammad, Pengarah Hutan Sarawak dan dihadiri oleh sekitar 60 peserta yang terdiri daripada kakitangan Bahagian Penyelidikan & Pembangunan, Jabatan Hutan Sarawak selain pelbagai agensi kerajaan, institusi penyelidikan, universiti dan badan bukan kerajaan. Bengkel dianjurkan bagi memperkukuh pemahaman saintifik dalam kalangan pemegang taruh untuk menyokong usaha memupuk amalan kelestarian dan meningkatkan keberkesanan pengurusan serta pemuliharaan ekosistem hutan paya bakau di Sarawak.

Dalam sesi ini, Prof. Madya Dr. Ahmad Aldrie Amir dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM dijemput selaku Pakar/Penceramah bagi berkongsi ilmu dan kepakaran khususnya dalam aspek kedinamikan dan resiliensi hutan paya bakau di Malaysia, di mana beliau banyak menyentuh tentang implikasi ekologi serta pemuliharaan dan pengurusan yang berasaskan sains. Dr. Aldrie turut memberi input dalam isu-isu yang diketengahkan sepanjang bengkel berlangsung antaranya termasuklah keperluan memperluas kajian saintifik, pengukuhan penguatkuasaan, teknologi yang boleh dimanfaatkan, pemerkasaan agenda Blue Carbon serta penglibatan komuniti dalam inisiatif penanaman dan restorasi hutan paya bakau.

Disediakan oleh PM Dr. Ahmad Aldrie Amir & Nazren Leman
5 Mac 2026