9 Sep 2026 – 9th APGN Symposium 2026 Melabuh Tirai dengan Kejayaan Cemerlang: PPG Nadi Utama Pengurusan Saintifik

LANGKAWI, 9 September 2026 – Penganjuran persidangan geopark antarabangsa berprestij, 9th Asia Pacific Geoparks Network (APGN) Symposium 2026 yang berlangsung pada 7 hingga 9 September 2026 melabuhkan tirainya. Simposium ini dianjurkan secara bersama oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Asia Pacific Geoparks Network (APGN), Global Geoparks Network (GGN) dan Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) serta beberapa rakan strategik lain. Kerjasama erat ini berjaya menghimpunkan pengamal, pakar dan pimpinan komuniti geopark dari peringkat kebangsaan mahupun anatarabangsa di pulau legenda ini.

Majlis perasmian simposium ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES). Majlis penuh gilang-gemilang ini turut disaksikan oleh barisan kepimpinan utama geopark dunia dan rantau Asia Pasifik, antaranya Prof. Artur A. Sá (Presiden GGN), Prof. Jin Xiaochi (Koordinator APGN), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, Penasihat Langkawi UNESCO Global Geopark serta para pakar geopark global dan tempatan. Persidangan empat hari ini menarik kehadiran hampir 600 peserta dari 22 buah negara yang mewakili 114 geopark. Daripada jumlah tersebut, seramai hampir 200 pembentang telah berkongsi kepakaran dan hasil penyelidikan menerusi 190 pembentangan lisan (oral presentation) dan 35 pembentangan poster.

Pengisian ilmiah symposium ini merangkumi tema utama iaitu Aspiring UGGp, Geotourism & Public Education, Social Community Development, Heritage Conservation dan Geopark Governance & Management. Di samping itu, ruangan Special Topics on Geopark turut memberi tumpuan khusus kepada jaringan geopark dan krisis global semasa seperti perubahan iklim serta potensi bencana alam. Bagi memberikan pengalaman lapangan yang holistik, para delegasi turut dibawa menyertai mid-field trips ke tiga Geoforest Parks di Langkawi UGGp iaitu Machinchang Cambrian, Kilim Karst dan Dayang Bunting Marble. Lawatan ini memberi peluang kepada para peserta untuk menyaksikan sendiri keunikan geowarisan serta model pengurusan pemuliharaan yang melibatkan komuniti tempatan.

Selain itu, penganjuran Geopark Fair turut menjadi daya tarikan utama program apabila sebanyak 35 wakil geopark dunia dan nasional membuat ruang pameran. Pameran ini memberi pelaung kepada setiap geopark untuk mempamerkan keunikan geowarisan, produk komuniti serta mempromosikan keistimewaan geopark masing-masing kepada para delegasi dan pengunjung APGN Symposium 2026. Penganjuran simposium ini memberi impak yang signifikan dalam mengangkat martabat Langkawi dan Malaysia sebagai hab rujukan pengurusan geowarisan dan geopelancongan di peringkat global. Pemilihan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo sebagai Koordinator APGN bagi penggal baharu mengukuhkan lagi kepimpinan dan pengaruh Malaysia dalam menentukan hala tuju pembangunan geopark di rantau Asia Pasifik. Pemasyhuran Deklarasi APGN 2026 turut menjadi pemangkin kepada komitmen bersama merentas negara dalam merangka tindakan mengukuhkan inovasi geopelancongan di dalam geopark. Selain membina jaringan penyelidikan baharu dan memantapkan kesedaran awam mengenai pemeliharaan warisan geologi, penganjuran ini turut memberi suntikan positif kepada ekonomi melalui pemerkasaan sektor geopelancongan.

PPG dan dua rakan kerjasama penting iaitu Geopark dan Geotourism Creative Solution Sdn. Bhd. serta Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) amat berbangga atas kejayaan menggalas serta menyempurnakan tanggungjawab mengetuai Jawatankuasa Saintifik APGN 2026. Komitmen ini sekaligus berjaya meletakkan APGN 2026 sebagai persidangan geopark yang menampilkan pengisian saintifik dan pengiktirafan akademik terbaik. Simposium diakhiri dengan pengumuman rasmi penyerahan penganjuran 10th APGN Symposium 2028 kepada Bohol UNESCO Global Geopark (Bohol UGGp), Filipina sebagai tuan rumah seterusnya. Penganjuran edisi ke-9 ini menutup tirai dengan kejayaan yang membawa sejuta inspirasi. Sampai jumpa lagi di APGN 2028 di Bohol!

Disediakan oleh Wan Daraputri Razali
9 September 2026