7 November 2025 – Draf Laporan Khas IPCC (SR Cities): Prof. Joy Seru Penglibatan dan Ulasan Pakar Serantau Asia-Pasifik

7 November 2025 – Satu taklimat dalam talian telah diadakan pada 7 November 2025 bagi menggalakkan penyertaan pakar serantau sebagai Pakar Penyemak untuk Draf Peringkat Pertama (FOD) Laporan Khas Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) mengenai Perubahan Iklim dan Bandar (SR Cities). Program ini diketuai oleh Prof. Dr. Joy Jacqueline Pereira, Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja III IPCC dan dianjurkan oleh Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI-UKM) serta rakan strategik antarabangsa. Taklimat ini membimbing peserta dari Malaysia dan Asia-Pasifik cara mendaftar dan menyumbang komen berasaskan bukti menjelang 12 Disember 2025.
Prof. Joy menekankan kepentingan kepakaran Asia-Pasifik bagi memperkayakan penilaian global dan memastikan laporan mencerminkan realiti pelbagai serantau. Sumbangan pakar ini akan diiktiraf dalam laporan akhir, sekaligus membuktikan bahawa suara serantau amat penting dalam membentuk masa depan dasar iklim dunia.
Disediakan oleh Puteri Amirah Nabilah Azman
7 November 2025