8 Ogos 2026 – Promosi Program Pascasiswazah LESTARI di Hari Informasi Jom Masuk UKM 2026

BANGI, 8 Ogos 2026 – Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape) telah menganjurkan Hari Informasi Jom Masuk UKM 2026 pada 8 Ogos 2026. Program ini bertujuan memberikan informasi mengenai program akademik yang ditawarkan oleh seluruh Pusat Tanggungjawab (PTj) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di samping memperkukuh kerjasama antara UKMShape dengan fakulti, institut dan pihak industri. Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Fariza Md Sham, FASc.

Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) telah dijemput menyertai program ini sebagai pempamer bagi mempromosikan program pascasiswazah serta bidang pengkhususan yang ditawarkan. LESTARI diwakili oleh Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin, Penyelaras Program dan Encik Muhammad Amirul Amri Mohd Akhairi, Pegawai Hebahan dan Promosi. Antara yang menjadi tumpuan utama para peserta ialah program baharu yang bakal ditawarkan oleh LESTARI, iaitu Sarjana Sains Kelestarian secara Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (Open and Distance Learning, ODL). Program yang dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian ini mempunyai tempoh pengajian selama satu tahun.

Hari Informasi Jom Masuk UKM 2026 turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh, Naib Canselor UKM yang meluangkan masa melawat reruai pameran serta meninjau pelbagai program pengajian yang ditawarkan oleh fakulti dan institut di UKM.

Disediakan oleh Muhammad Amirulamri Mohd Akhairi
8 Ogos 2026