9 Apr 2026 – Memacu Sinergi Industri-Akademik: Bengkel Perniagaan Strategik GGCS Perkukuh Kerjasama Perundingan

NILAI, 9 April 2026 – Memperkukuhkan sinergi yang dimeterai melalui MoU pada 2024, Geopark & Geotourism Creative Solutions Sdn. Bhd. telah menjemput Pusat Penyelidikan Geotaman (PPG), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) sebagai rakan strategik utama dalam Bengkel Perniagaan Strategik GGCS Sdn. Bhd. Bengkel ini telah diadakan pada pada 8 dan 9 April 2026 bertempat di Nilai Springs Hotel & Resort. Program ini adalah salah satu aktiviti yang menterjemahkan dokumen perjanjian kepada impak pelaksanaan yang nyata, khususnya dalam bidang penyelidikan dan perundingan pakar. LESTARI diwakili oleh Ketua PPG, Prof. Dr. Norhayati Ahmad, PGeol. Dr. Lim Choun Sian dan Puan Wan Daraputri Razali. Bengkel ini juga turut dihadiri oleh pakar akademik lain dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Tumpuan utama bengkel diberikan kepada penyelarasan hala tuju penyelidikan agar kajian yang dijalankan sentiasa relevan dan selari dengan perkembangan serta keperluan industri masa kini. Perbincangan ini juga bertujuan memastikan hasil penyelidikan bersifat praktikal dan membuka ruang yang lebih luas kepada pakar akademik untuk terlibat secara langsung sebagai perunding dalam projek-projek serta pengurusan di bawah kendalian GGCS Sdn. Bhd. Melalui integrasi kepakaran ini, semua pihak komited untuk menghasilkan output yang berimpak, termasuk dalam aspek penghasilan penerbitan berilmiah dan inovatif. Perbincangan turut menyentuh mengenai lonjakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta strategi untuk memanfaatkan serta mengoptimumkan inovasi tersebut bagi meningkatkan keberkesanan dan mutu kerja penyelidikan.

Penganjuran bengkel ini menunjukkan komitmen berterusan antara PPG dan GGCS Sdn. Bhd. dalam memperkukuhkan kerjasama universiti-industri. Dengan kerjasama integrasi kepakaran ini, pembangunan geopark dan geopelancongan di dalam negara akan terus diperkasa dan membantu menaikkan nama negara dalam usaha pemeliharaan khazanah sumber tabii.

Disediakan oleh Wan Daraputri Razali
9 April 2026