9 Mac 2026 – Hari Mesra Pelajar Semester 2 Sesi 2025/2026 Sambut Kehadiran Siswazah Baharu LESTARI Secara Maya

9 Mac 2026 – Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah mengadakan Hari Mesra Pelajar Semester 2 Sesi 2025/2026 secara atas talian melalui platform Microsoft Teams. Program ini bertujuan menyambut kehadiran dan memberikan taklimat orientasi kepada 10 orang pelajar baharu yang terdiri daripada 7 calon Doktor Falsafah (PhD) dan 3 calon Sarjana Sains. Program yang memfokuskan kepada Taklimat Pelajar Baharu ini merupakan inisiatif penting bagi memastikan setiap pascasiswazah yang mendaftar mendapat pendedahan komprehensif mengenai ekosistem akademik, kursus pengajian dan peraturan pengajian.

Program dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan ucapan alu-aluan disampaikan oleh Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta, Pengarah LESTARI. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan integrasi ilmu dalam mendepani cabaran kelestarian alam sekitar. Sesi diteruskan dengan slot pengenalan diri oleh para pelajar baharu bagi membina hubungan awal antara rakan sekuliah dan warga institut. Taklimat Akademik & Kursus Teras pula telah disampaikan oleh Penyelaras Kursus LESTARI bagi memastikan pelajar memahami struktur pengajian. Selain aspek akademik, pelajar turut didedahkan dengan prosedur pengurusan siswazah melalui taklimat oleh Sekretariat Pelajar LESTARI. Sesi ini memberi tumpuan kepada urusan pentadbiran dan kebajikan pelajar sepanjang berada di UKM.

Meskipun sesi diadakan secara maya, interaksi antara pihak pengurusan dan pelajar kekal dinamik. Taklimat khas telah diberikan bagi memastikan kumpulan perintis ini memahami prosedur penyelidikan, penyeliaan, serta kemudahan digital yang disediakan oleh pihak universiti untuk menyokong pengajian mereka. Program diakhiri dengan sesi soal jawab (Q&A) yang interaktif sebelum bersurai pada sekitar jam 11.15 pagi. Pihak LESTARI mengucapkan selamat maju jaya kepada semua penyelidik baharu dalam menempuh gerbang ilmu di institusi ini.

Disediakan oleh Nur Amira Ahmad
9 Mac 2026