Lawatan ke Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur dan Perbincangan Kerjasama Penganjuran Kem Ekologi IKIM-LESTARI 2023

Satu sesi perbincangan di antara Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI UKM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah diadakan pada 23 Februari 2023, bertempat di Kompleks Bangunan IKIM, Kuala Lumpur. Perbincangan yang dijalankan adalah berkisar tentang usahasama bagi menerbitkan dapatan daripada Program Muzakarah Pakar ‘Wakaf Tenaga Boleh Diperbaharui: Ke Arah Kelestarian Alam Sekitar’ yang telah dianjurkan bersama pada 20-21 Oktober 2022 yang lalu di UKM. Selain itu, pihak IKIM turut memperincikan hasrat untuk sekali lagi berkerjasama dengan LESTARI bagi menganjurkan program pemindahan ilmu ‘Kem Ekologi IKIM-LESTARI 2023’ yang dijadualkan akan dilaksanakan sekitar September 2023 ini, bertempat di Langkawi, Kedah, khusus melibatkan sejumlah pelajar sekolah menengah sekitar kepulauan Langkawi.

Seusai perbincangan, pihak LESTARI yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Sharina Abdul Halim, turut ditemani oleh Dr. Sh. Mohd Saifuddeen Sh. Mohd Salleh, mantan Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), IKIM untuk melihat kemudahan-kemudahan yang terdapat di Kompleks Bangunan IKIM dan diberi penerangan berkaitan pengoperasian aktiviti studio Radio IKIM. Pihak IKIM turut menawarkan lima slot sepanjang bulan Ogos 2023 kepada felo akademik LESTARI untuk berkongsi ilmu berkaitan alam sekitar bersama pendengar menerusi Program Resolusi Radio IKIM Malaysia.

Laporan oleh Nazren Leman & Ku Adriani Ku Ayob