Menangani Ancaman Kenaikan Aras Laut: Kerjasama Serantau ASEAN 2025

12 Jun 2025 – Bengkel ASEAN Sea Level Rise 2025 telah diadakan selama dua hari bermula 11 hingga 12 Jun 2025 di Kuala Terengganu yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), PETRA–NAHRIM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC). Bengkel ini turut disokong oleh GIZ dan ASEAN Secretariat. Objektif utama bengkel ini adalah untuk membincangkan isu kenaikan aras laut di rantau ASEAN serta memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin mewakili Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) turut sama dijemput bagi memperoleh pengetahuan dan maklumat terkini berkaitan impak kenaikan aras laut terhadap ekosistem pesisir serta strategi adaptasi yang sedang diterapkan di peringkat serantau. Sepanjang dua hari bengkel ini berlangsung, pelbagai sesi pembentangan dan perbincangan telah dijalankan. Antara topik utama yang dibincangkan termasuk pemantauan kenaikan aras laut, adaptasi komuniti pesisir dan pendekatan berasaskan sains dalam merangka dasar perubahan iklim.

Penglibatan aktif Dr. Aida dalam bengkel ini telah memberikan pendedahan lebih mendalam mengenai isu perubahan iklim khususnya berkaitan kenaikan aras laut di rantau ASEAN. Ia juga membuka peluang jaringan kolaborasi antara penyelidik dan institusi serantau yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan projek penyelidikan masa hadapan dalam bidang adaptasi pesisir dan pengurusan risiko iklim.

Disediakan oleh Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin
12 Jun 2025