Seminar Teknikal Antara Nuklear Malaysia dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM

Seminar kerjasama di antara Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM telah berlangsung dengan jayanya pada 28 Februari 2023, bertempat di Dewan Tun Dr. Ismail, Nuklear Malaysia. Lebih daripada 70 orang peserta telah hadir memeriahkan program seminar ini, melibatkan para penyelidik dan pegawai dari Nuklear Malaysia, LESTARI-UKM dan juga Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM. Seminar yang dianjurkan bersama ini merupakan susulan daripada perjumpaan kolaborasi di antara kedua-dua institusi yang telah dimulakan sekitar Oktober 2022, khusus untuk melihat potensi penggunaan maklumat, data dan kaedah nuklear dalam pelbagai aspek pengurusan alam sekitar.

Sejumlah 9 pembentangan telah disampaikan oleh pakar penyelidik yang berkisar tentang penggunaan kaedah nuklear dan potensi aplikasi dari pelbagai aspek alam sekitar meliputi keselamatan manusia, kitar semula, perubahan iklim, bencana semulajadi, sekuriti makanan, air bawah tanah, air panas sehingga ke pemuliharaan sumber warisan tabii. Lawatan ke beberapa makmal terpilih yang terlibat secara langsung dengan pengumpulan data berkaitan alam sekitar juga disisipkan dalam aturcara seminar ini sebelum diakhiri dengan sesi dialog dan perbincangan halatuju bagi melihat bentuk kerjasama jangka panjang di antara kedua-dua institusi. Hasil daripada sesi perbincangan ini, sejumlah 11 skop kerjasama yang berpotensi telah dikenalpasti oleh kedua-dua pihak untuk disusuli dengan aktiviti penyelidikan dan kerjasama berterusan di masa hadapan.

Laporan oleh Prof. Madya Dr. Tanot Unjah