Pada Majlis Anugerah Sanjungan Kencana 2025, Fakulti Perubatan telah menobatkan Datuk Dr. Nor Fariza Binti Ngah sebagai penerima anugerah Alumni Tersohor Fakulti Perubatan 2025. Anugerah ini diberikan kepada seorang alumni di atas kejayaan dan pencapaiannya di dalam kerjaya. Datuk Dr. Nor Fariza Binti Ngah adalah seorang Pakar Oftalmologi terlatih yang memperoleh Ijazah Doktor Perubatan pada 1991 dan Ijazah Sarjana Surgeri (Oftalmologi) pada 1998 dari Fakulti Perubatan UKM.
Â
Beliau yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pernah berkhidmat sebagai Perunding Kanan Pakar Oftalmologi di Hospital Selayang dan telah menjawat jawatan sebagai Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia dari 2014 hingga 2023. Beliau turut menyandang jawatan Presiden Kolej Pakar Oftalmologi Malaysia dari 2018 hingga 2023.
Â
Semasa berkhidmat sebagai Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kebangsaan, beliau telah memimpin penubuhan pusat retina termaju di hospital-hospital KKM, dengan memperkenalkan teknologi terkini untuk rawatan termasuk penggunaan AI dalam rawatan penyakit mata.