MINDA-UKM

Reforming Malaysia’s Health System: Challenges & Directions

Sistem kesihatan Malaysia kini berada pada titik genting yang menuntut penilaian semula secara menyeluruh terhadap struktur, pembiayaan dan hala tuju pembaharuan jangka panjang. Tekanan kos rawatan yang meningkat, kekangan fiskal, ketidakseimbangan peranan antara sektor awam dan swasta serta cabaran tenaga kerja kesihatan menjadikan reformasi bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan mendesak.

Menyedari realiti ini, MINDA UKM telah menganjurkan Minda Policy Roundtable (MPR) bertemakan Reforming Malaysia’s Health System: Challenges & Directions sebagai platform dialog dasar tertutup yang menghimpunkan aktor utama ekosistem kesihatan negara bagi membahaskan reformasi sistem kesihatan secara kritikal, berfakta dan berpaksikan realiti pelaksanaan di lapangan.

Sesi perbincangan ini menampilkan panel berwibawa daripada kalangan akademik, industri kesihatan dan pengamal profesional, serta disertai oleh pembuat dasar, wakil kementerian dan agensi berkaitan, persatuan profesional kesihatan, pengurusan tertinggi hospital awam dan swasta serta pemegang taruh utama sektor kesihatan. Kepelbagaian latar belakang ini membolehkan perbahasan berlangsung secara berimbang, berani dan berasaskan pengalaman sebenar sistem.

Perbincangan memberi tumpuan kepada isu-isu teras termasuk tekanan pembiayaan kesihatan, kekangan fiskal kerajaan, ketidakseimbangan struktur antara sektor awam dan swasta, cabaran pembangunan serta pengekalan tenaga kerja kesihatan dan keperluan penambahbaikan tadbir urus sistem. Wacana menegaskan bahawa pembaharuan kesihatan tidak boleh lagi bersifat terpisah atau jangka pendek, sebaliknya memerlukan pendekatan bersepadu yang disokong oleh sinergi dasar merentas sektor.

MPR ini menegaskan kepentingan kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta, institusi akademik dan masyarakat sivil sebagai prasyarat kepada reformasi sistem kesihatan yang mampan, telus dan berdaya tahan, selari dengan keperluan rakyat dan cabaran masa hadapan.

Program ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Seri Mustapha Mustapa Mohamed serta YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Pro Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (Kampus Kuala Lumpur), dan menampilkan YBrs. En. Anwar Anis, Setiausaha Kehormat Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) serta YBrs. Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, Dekan Pusat Pengajian Citra (CITRA-UKM) yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai panel perbincangan.

Siri ini menandakan permulaan kepada rangkaian MINDA Policy Roundtable berkaitan reformasi sistem kesihatan Malaysia dengan beberapa siri lanjutan dirancang pada tahun 2026 bagi mengupas isu-isu khusus secara lebih mendalam dan berfokus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *