MINDA-UKM

From Disinformation And Misinformation To Trust: Reclaiming Malaysia’s Information Space

Kepercayaan terhadap media dan ruang maklumat sedang berada pada tahap yang kritikal, ketika masyarakat dihujani limpahan maklumat palsu dan tidak tepat yang tersebar pantas dalam ekosistem digital tanpa sempadan. Dalam persekitaran komunikasi yang dipacu algoritma, sensasi dan kepantasan, autoriti fakta semakin terhakis, manakala kebolehan awam untuk membezakan kebenaran dan kepalsuan semakin teruji. Krisis ini bukan sekadar isu teknologi atau media, tetapi mencerminkan keretakan mendalam dalam hubungan antara institusi maklumat, penyampai naratif dan masyarakat.

Perbincangan meneliti secara kritikal cabaran landskap maklumat semasa, termasuk dominasi media sosial sebagai sumber rujukan utama, kemunculan pencipta kandungan sebagai pembentuk kepercayaan baharu, serta implikasi teknologi seperti kecerdasan buatan terhadap kredibiliti dan kebolehpercayaan kandungan. Wacana ini turut menegaskan bahawa kemerosotan kepercayaan awam berpunca daripada pelbagai faktor yang saling berkait, termasuk ketidakjelasan proses penghasilan berita, jurang kefahaman antara media dan khalayak, serta persekitaran digital yang menggalakkan penyederhanaan naratif, pengukuhan sentimen dan pembentukan gelembung maklumat.

Perbincangan yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad ini menampilkan kupasan mendalam oleh Prof. Madya Dr. Sabariah Mohamed Salleh, Ketua Program Komunikasi, Pusat Penyelidikan Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia, serta Kalpana Jain, Editor Kanan (Senior Editor), The Conversation (Amerika Syarikat) dan Penyelidik Pelawat MINDA & FSSK, UKM. Secara keseluruhan, sesi ini menegaskan bahawa usaha merebut semula ruang maklumat negara memerlukan peralihan daripada pendekatan kawalan kandungan semata-mata kepada pembinaan ekosistem maklumat yang berintegriti, telus dan berteraskan kepercayaan bersama. Sejajar dengan aspirasi tersebut, MINDA-UKM kekal komited menangani cabaran maklumat melalui wacana dasar berasaskan ilmu dan pemikiran kritikal, atas semangat bersama membangunkan negara. Program ini dianjurkan oleh MINDA UKM dengan kerjasama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *