MINDA-UKM

Hi Tea: The Rise of Personal Branding in Journalism at a Time of Low Trust in Media

Kepercayaan awam terhadap laporan media semakin merosot dalam landskap maklumat yang kian terfragmentasi. Realiti ini menjadi teras perbincangan Hi Tea: The Rise of Personal Branding in Journalism at a Time of Low Trust in Media bersama Kalpana Jain, Visiting Researcher MINDA UKM dan Editor Kanan The Conversation (Amerika Syarikat), yang menilai perubahan struktur media global serta tuntutan baharu terhadap profesion kewartawanan.

Berpaksikan pengalaman antarabangsa, Kalpana Jain menegaskan bahawa dalam persekitaran media yang dikuasai pempengaruh, platform digital dan khalayak yang semakin skeptikal, wartawan kini memikul tanggungjawab peribadi untuk membina reputasi, ketelusan dan kredibiliti. Pembinaan jenama peribadi muncul sebagai keperluan profesional, namun mesti dipandu oleh etika kewartawanan agar tidak terjerumus menjadi kandungan berorientasikan pengaruh semata-mata.

Wacana ini turut menghimpunkan Tan Sri Johan Jaaffar, Tokoh Wartawan Negara, bersama wartawan kanan daripada pelbagai organisasi media nasional, ahli akademik, wakil Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Malaysian Press Institute serta pemain institusi lain dalam ekosistem media dan dasar tanah air. Dalam ucapannya, Tan Sri Johan menegaskan bahawa perubahan tingkah laku masyarakat yang tidak lagi membaca, menonton atau mempercayai laporan media merupakan satu isyarat kecemasan yang menuntut kebangkitan segera dunia kewartawanan. Program anjuran MINDA-UKM bersama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM ini menggariskan satu kesimpulan jelas bahawa kepercayaan awam hanya boleh dipulihkan melalui kewartawanan yang relevan, bertanggungjawab dan berprinsip.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *