Strengthening Malaysia’s Space Economy: From Vision to Action
Dalam mendepani transformasi teknologi global, industri angkasa kini muncul sebagai sempadan baharu yang kritikal bagi memacu pertumbuhan ekonomi masa hadapan negara, sekali gus menuntut kesediaan ekosistem tempatan yang mampan. Bagi merungkai potensi dan mencorakkan hala tuju konkrit sektor ini, program MINDA Policy Roundtable (MPR) Siri 27 bertemakan “Strengthening Malaysia’s Space Economy: From Vision to Action” telah berjaya dianjurkan hasil kolaborasi strategik antara Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) bersama Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM. Dipandu secara dinamik oleh YBhg. Prof. Dr. Mohd. Azlan Shah Zaidi (Dekan FEP UKM) selaku moderator, sesi dialog meja bulat ini membariskan tiga tokoh industri dan penggubal dasar terkemuka sebagai pembentang utama (Lead Discussants) iaitu YBhg. Datuk Dr. Ahmed Tasir Lope Pihie (Profesor Adjung FEP UKM), YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah (Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia – MYSA), dan YBhg. Dato’ Kamarul Redzuan Muhamed (Pengarah Urusan Kumpulan UZMA & Presiden Konsortium Industri Angkasa Malaysia – MASIC).
Sesi komprehensif ini berfungsi sebagai platform inklusif dalam mengupas usaha memperkukuh dasar nasional, merancakkan inovasi R&D, serta menangani jurang bakat tempatan demi melonjakkan daya saing Malaysia di pasaran global. Isu-isu strategik tersebut telah dibahas dan diperkayakan lagi melalui sinergi idea interaktif bersama para pemegang taruh penting yang hadir, merangkumi wakil pihak keselamatan dan ketenteraan, penggerak industri, pakar akademia, serta agensi kerajaan. Melalui integrasi pemikiran merentas sektor ini, hasil perbincangan MPR ini dijangka dapat merumuskan cadangan polisi serta pelan tindakan tuntas yang mampu memacu ekosistem ekonomi angkasa negara ke tahap keberhasilan baharu yang lebih berimpak tinggi.
#mindaukm #mindanews #aerospace #mindapolicyroundtable #bersamamembangunkannegara