Pusat Penyelidikan Pendidikan Kejuruteraan

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Sejarah Penubuhan

Pusat Penyelidikan Pendidikan Kejuruteraan (P3K) telah ditubuhkan pada bulan Mac 2009 dan diketuai oleh Profesor Dr. Azami Zaharim pada ketika itu. Matlamat utama penubuhan pusat ini adalah untuk melahirkan sumber manusia berpengetahuan tinggi dan cekap dalam bidang pendidikan kejuruteraan. Sebelum penubuhan P3K, Kumpulan Penyelidik Pendidikan Kejuruteraan (EERG) telah mula dibentuk pada bulan Januari 2003 hasil cetusan idea mantan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Profesor Ir. Dr. Hassan Basri. Ahli-ahli pusat penyelidikan ini terdiri daripada ahli-ahli akademik dengan pelbagai latar belakang pendidikan meliputi Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Fakulti Pendidikan dan Fakulti Sains dan Teknologi.

Matlamat utama penubuhan pusat penyelidikan ini adalah untuk menerajui penyelidikan berkaitan kaedah pembelajaran yang dikenali sebagai Pembelajaran Berasaskan Hasil (PBH). Penekanan diberikan terhadap jaminan kualiti berdasarkan kemahiran sumber manusia yang merupakan pendekatan terkini dalam mekanisme pengajaran dan pembelajaran kebangsaan. Berbeza dengan kaedah pengajaran tradisional, kaedah terkini lebih menumpukan kepada kreativiti dan inovasi tenaga pengajar. Secara tidak langsung, pusat penyelidikan ini telah menyumbang kepada penambahbaikan kurikulum dan pendidikan, di mana salah satu bidang terbesar melibatkan pemindahan kredit dan pertukaran pelajar.