News
Get the latest updates and news from PERKASA, where we share stories of youth empowerment and our community initiatives. Stay informed about our progress.
LAWATAN TKSU PERANCANGAN DAN PEMBANGUNAN KPM KE PUSAT KOMUNITI PERMATA REMAJA, PPR KG. MUHIBBAH
LAWATAN TKSU PERANCANGAN DAN PEMBANGUNAN KPM KE PUSAT KOMUNITI PERMATA REMAJA, PPR KG. MUHIBBAH

KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER 2026 – Pusat Komuniti PERMATA Remaja, PPR Kampung Muhibbah telah menerima kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diketuai oleh YBhg. Dato' Dr. Megat Sany bin Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), KPM. Turut hadir ialah YBrs. Dr. Nor Suhara binti Fadzil, Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian PERMATA; Puan Nora Azua Zaini, Penolong Setiausaha Kanan (Perkhidmatan/Dasar), Bahagian PERMATA; serta wakil Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), iaitu Hjh. Norhayati Haji Ab Wahab, Timbalan Pengarah Kanan (TPK) BPLTV, En. Syahrul Nizam, En. Zulkifli dan Puan Rahmah, Ketua Penolong Pengarah Kanan (KPPK). Lawatan ini bertujuan untuk meninjau pelaksanaan Program PERMATA Remaja serta melihat secara langsung penglibatan peserta dan aktiviti pembangunan kemahiran yang dilaksanakan bersama komuniti setempat, khususnya golongan remaja di kawasan PPR Kampung Muhibbah.

Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai pelaksanaan Program PERMATA Remaja yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Nasrudin Subhi, Ketua Program PERMATA Remaja. Seterusnya, delegasi dibawa melawat beberapa kelas kemahiran yang ditawarkan di pusat komuniti tersebut, merangkumi kelas vokal dan muzik, fotografi, kecantikan serta kek dan pastri. Sepanjang lawatan, delegasi berpeluang menyaksikan sendiri aktiviti pembelajaran dan demonstrasi kemahiran yang dikendalikan oleh tenaga pengajar bersama peserta. Antara pengisian menarik termasuk persembahan instrumen muzik dan nyanyian oleh peserta kelas vokal dan muzik, sesi fotografi di studio, demonstrasi solekan serta demonstrasi penyediaan kuih tradisional menggunakan teknik mengukus.

Lawatan ini memberikan gambaran secara langsung tentang pendekatan pelaksanaan Program PERMATA Remaja. Diharapkan kunjungan ini dapat memperkukuh hubungan kerjasama antara KPM, Bahagian PERMATA, BPLTV dan pihak pengurusan Program PERMATA Remaja dalam usaha memperkasa pembangunan potensi serta menyediakan peluang pembelajaran yang bermakna kepada golongan remaja, khususnya daripada komuniti berpendapatan rendah.














