Skip to main content

Pusat Pemerkasaan Remaja

Welcome To PERKASA Website

News

Get the latest updates and news from PERKASA, where we share stories of youth empowerment and our community initiatives. Stay informed about our progress.

PROGRAM MENGENAL WARNA DAN EMOSI

PANTAI DALAM, 7 November 2026 – Seramai 17 orang kanak-kanak berumur antara 4 hingga 8 tahun telah menyertai Aktiviti Mengenal Warna dan Emosi yang berlangsung di Pusat Komuniti PERMATA Remaja, Blok A PPR Pantai Ria. Program ini merupakan inisiatif mahasiswa Universitas Diponegoro, Semarang, Indonesia, daripada bidang Psikologi yang sedang menjalani latihan industri di Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA), UKM. Aktiviti ini bertujuan memperkenalkan pelbagai ekspresi emosi kepada kanak-kanak melalui pendekatan kreatif dan interaktif dengan menggunakan lukisan emoji sebagai medium pembelajaran. Pelaksanaannya turut memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengenali, memahami dan mengekspresikan emosi melalui warna serta hasil karya masing-masing.

Aktiviti dimulakan pada pukul 10.00 pagi dengan sesi suai kenal, diikuti penerangan tentang tugasan yang perlu dilaksanakan. Setiap peserta diberikan lembaran kerja yang mengandungi beberapa bulatan berwarna dan diminta menghasilkan lukisan ekspresi wajah atau emoji berdasarkan kreativiti serta imaginasi masing-masing. Sepanjang aktiviti berlangsung, peserta menunjukkan pelbagai idea menarik dalam menghasilkan lukisan. Ada antara mereka memilih untuk menggambarkan haiwan kegemaran seperti kucing dengan ekspresi wajah yang berbeza, manakala sebahagian yang lain mengaitkan warna dengan emosi tertentu.

Sesi diteruskan dengan perkongsian hasil karya apabila setiap peserta diberi peluang untuk tampil ke hadapan dan menerangkan lukisan masing-masing. Melalui sesi ini, kanak-kanak berpeluang menyatakan pandangan, berkongsi perasaan serta memahami bahawa setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam mengekspresikan emosi. Aktiviti ditutup dengan sesi fotografi sebagai dokumentasi program sebelum peserta bersurai. Secara keseluruhannya, inisiatif ini bukan sahaja menyediakan ruang pembelajaran kreatif kepada kanak-kanak, malah turut menyumbang kepada perkembangan kesedaran emosi, keyakinan diri dan kemahiran komunikasi sejak usia awal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *