Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM

 Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan

Kolej PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (KPPN UKM) merupakan program khas yang pertama di Malaysia untuk murid yang mempunyai potensi intelek semula jadi yang tinggi. UKM telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan program ini sejak Januari 2011. Murid-murid yang mengikuti program ini dipilih melalui proses ujian-ujian saringan UKM1, UKM2 dan UKM3.

Murid mengikuti program pendidikan yang menyepadukan pembelajaran akademik, ko-kurikulum, pembinaan sahsiah dan nilai murni melalui pengalaman pembelajaran aktif dan bermakna. Suasana serta persekitaran sekolah turut dibangunkan agar menyumbang kepada perkembangan murid yang holistik dan menyeluruh.

KPPN UKM merupakan pusat kecemerlangan di Malaysia yang bertanggungjawab mengenal pasti murid pintar dan berbakat dari seluruh tanah air dan memberikan peluang untuk mengembangkan potensi dan bakat mereka.

Terdapat dua kampus bagi KPPN UKM iaitu Kampus Bangi di Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM yang menempatkan murid menengah tinggi manakala Kampus Seremban merupakan perluasan daripada Kolej PERMATA@Pintar Negara, UKM Kampus Bangi yang menempatkan murid menengah rendah (Asas 1, Asas 2 dan Asas 3).