Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim

 UKM

Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana

image453

10 Mei 2012 – Lebih 300 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah mempamerkan perkhidmatan dan produk masing-masing. Program Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana ini telah berlangsung selama dua hari (10 dan 11 Mei 2012) di Perkarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf Seksyen 15, Shah Alam. Karnival anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan SME Corp ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pelbagai aktiviti yang berunsurkan keusahawanan diadakan bagi menarik pengunjung bagi memeriahkan lagi program yang diadakan. Peserta Teman 1Azam NCWO-UKM tidak ketinggalan dalam menjual produk mereka. Peserta Teman 1Azam yang terdiri daripada Puan Noraziah, Puan Siti Mariam, dan Puan Tilawati masing-masing menjual produk mereka seperti pecal, jeli kelapa, acar, biskut raya, dan produk-produk daripada pokok stevia.

Peserta Teman 1Azam turut dibantu oleh Cik Mas Aliza Abu, Pegawai Penyelidik Sosial, PKW dan pelajar latihan industri PKW yang terdiri daripada Cik Nurhana Ismail, Cik Noorhedayu Redzuan, Cik Nurul Afidah Ashma dan Encik Mazlan Muhamad. Mereka telah membantu untuk menjual produk-produk peserta Teman 1Azam yang tidak dapat menghadiri program ini. Antara produk yang dijual ialah pelbagai jenis kerepek dan maruku, biskut, cupcakes dan coklat.

Walaupun jualan selama dua hari ini tidak memberikan keuntungan yang banyak tetapi ia membantu peserta Teman 1Azam untuk menambahkan jaringan dalam perniagaan mereka.