Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim

 UKM

Latar Belakang Kursi

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 11 Januari 2012 telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk menubuhkan Kursi Kepimpinan Wanita di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Perjanjian antara Kerajaan Malaysia (Diwakili oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia berkenaan dengan Penubuhan Kursi di Universiti Kebangsaan Malaysia telah ditandatangani pada 30 Mac 2012 bertempat di Dewan Perdana Nur, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.  Objektif penubuhan kursi ini adalah bagi memastikan isu kepimpinan wanita dapat dikaji oleh pakar dan para penyelidik serta dapat menjana ilmu watan (local knowledge) di mana input kajian boleh dimanfaatkan oleh pihak Kerajaan  dan pihak berkepentingan yang lain. Langkah ini juga adalah selaras dengan matlamat Dasar Wanita Negara dan Dasar Sekurang-kurangnya 30 Peratus Wanita Di Peringkat Pembuat Keputusan (dalam sektor awam dan sektor korporat) serta obligasi negara terhadap instrumen antarabangsa terutama ‘Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women’ (CEDAW).  Selain itu penubuhan Kursi Kepimpinan Wanita ini merupakan kemuncak kepada usaha Kerajaan dalam membangunkan potensi wanita di Malaysia.