Bengkel Hala Tuju & Program Kolaborasi Menuju 2026 | 12 November 2025
Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), FSSK UKM telah mengadakan Bengkel Hala Tuju & Program Kolaborasi Menuju 2026 pada 12 November 2025 bertempat di Hotel Tenera, Bangi.
Bengkel yang dipengerusikan oleh Dr. Noremy Md. Akhir ini menghimpunkan Felo-felo Bersekutu PKWTFH dalam satu sesi perbincangan bagi merangka hala tuju dan inisiatif baharu untuk program tahun 2026.
Sepanjang bengkel dijalankan, setiap felo telah berkongsi idea serta mencadangkan pelbagai aktiviti dan program kolaborasi yang menyokong misi PKWTFH untuk memperkasa wanita dalam bidang kepimpinan, penyelidikan dan pembangunan komuniti. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan dan industri, selain memperluas impak program kepimpinan wanita di peringkat nasional dan serantau.
Warga PKWTFH amat berbesar hati atas kesudian semua felo yang hadir, terutamanya Hajah Padzilah Enda Sulaiman dan Prof. Datuk Rokiah Omar, yang telah menyampaikan pandangan dan cadangan yang sangat menginspirasikan. Ucapan dan perkongsian mereka memberi suntikan semangat baharu kepada pasukan PKWTFH untuk terus melangkah dengan visi yang lebih jelas menuju tahun 2026.
Melalui bengkel ini, PKWTFH terus komited untuk menjadi pusat rujukan unggul dalam bidang kepimpinan wanita, sejajar dengan aspirasi Universiti Kebangsaan Malaysia ke arah kecemerlangan global dan kesejahteraan masyarakat.








