Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi melaksanakan Sijil Profesional Kepimpinan Wanita.
Pada 18 November 2025, warga Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) telah ke Shah Alam dengan tujuan menjalinkan kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi melaksanakan Sijil Profesional Kepimpinan Wanita di bawah naungan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW).
Kerjasama ini dimeterai melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung semalam di Wisma Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, dan disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor.
Bagi pihak PKWTFH, pemeteraian ini menandakan komitmen kami untuk memperkukuh pembangunan kepimpinan wanita melalui program latihan profesional yang berstruktur dan diiktiraf. Usaha ini menyokong aspirasi dalam meningkatkan penglibatan wanita dalam proses membuat keputusan di negeri Selangor.
Sebagai institusi yang memfokuskan penyelidikan dan pembangunan kepimpinan wanita, PKWTFH komited untuk menerajui pembangunan modul latihan berkualiti tinggi bagi melahirkan pemimpin wanita yang berpengetahuan, berkemahiran dan berwibawa.
Majlis turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Puan Anfaal Saari; Ahli Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor; serta Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Dr Kadaruddin Aiyub.







