Program Pengurusan Persekitaran

Pengenalan

Program Pengurusan Persekitaran merupakan sebuah program pascasiswazah bersifat multidisiplin yang merangkumi aspek alam sekitar, sosial dan ekonomi, selaras dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Berbeza daripada program alam sekitar konvensional, program ini menonjolkan integrasi aspek sosioekonomi dan pentadbiran alam sekitar sebagai teras utama pembelajaran. Pendekatan ini membolehkan pelajar memahami isu persekitaran bukan sahaja dari sudut saintifik, tetapi juga dari perspektif dasar, tadbir urus dan pembangunan masyarakat.

Kandungan program merangkumi rangkaian kursus yang seimbang antara teori dan amali, termasuk sains semula jadi, ekonomi alam sekitar, prinsip pengurusan, perundangan dan dasar alam sekitar, sistem pengurusan persekitaran, penilaian impak alam sekitar dan impak sosial, kawalan pencemaran, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta peluang kerja lapangan bagi memperkukuh pengalaman pembelajaran.

Program ini ditawarkan pada peringkat Sarjana Kerja Kursus, Sarjana Falsafah dan Doktor Falsafah, sekaligus menyediakan laluan akademik dan profesional yang fleksibel. Ia amat sesuai untuk lepasan graduan yang ingin memperluas prospek kerjaya, dan juga bagi individu yang mahu meningkatkan kepakaran profesional dalam sektor awam, swasta dan industri.

Visi Program

Menjadi peneraju pendidikan pascasiswazah dalam pengurusan persekitaran berteraskan multidisiplin, kelestarian dan kepimpinan demi kesejahteraan alam sekitar dan masyarakat.

Menyediakan pendidikan sarjana untuk melahirkan profesional pengurusan persekitaran melalui pendekatan multidisiplin yang berteraskan sains, sosial, ekonomi dan tadbir urus lestari. 

Program Pengurusan Persekitaran menekankan pendekatan multidisiplin merangkumi alam sekitar, ekonomi dan sosial selaras dengan agenda kelestarian global dan nasional.

  1. Calon perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui: http://www.ukm.my/join/www.ukm.my/studyukm/phd-social-sciences-humanities/
  2. Pengambilan untuk mod kerja kursus dan mod campuran dibuka dua kali setahun, iaitu setiap Oktober hingga November (untuk pengambilan Februari berikutnya) dan setiap April hingga Mei (untuk pengambilan bulan September).
  3. Permohonan untuk program mod penyelidikan boleh dibuat bila-bila masa sepanjang tahun.
  4. Tempoh untuk program Sarjana memerlukan 2 hingga 4 semester untuk pengajian secara sepenuh masa dan 4 hingga 8 semester untuk pengajian secara sambilan dan untuk program Doktor Falsafah adalah 6 hingga 12 semester untuk pengajian secara sepenuh masa dan 8 hingga 14 semester untuk pengajian secara sambilan.

Dr. Siti Dina Razman Pahri

Penyelaras Siswazah

Program Pengurusan Persekitaran

Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi, Selangor
Malaysia

Tel : +603-8921 5672
Emel: sitidina@ukm.edu.my