Southeast Asia Disaster Prevention Research Initiative (SEADPRI-UKM)

 

PROGRAM JEJAK KARBON DI SEKOLAH

Pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida merupakan salah satu punca utama yang menyumbang kepada pemanasan global dan menyebabkan berlakunyaperubahan iklim. Dalam usaha menangani masalah ini, satu inisiatif telah dilakukan oleh pihak Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM dengan mengadakan Program Jejak Karbon di Sekolah. Program Jejak Karbon di Sekolah ini merupakan program yang dilaksanakan di bawah Kajian Kesedaran dan Keberkesanan Penerapan Program Jejak Karbon di Sekolah (EMC-2023-004) yang diketuai oleh Gs. Dr. Aida Soraya Shamsuddin bersama penyelidik-penyelidik yang lain seperti Prof. Dr. Sharifah Zarina Syed Zakaria, Prof. Dr. Muhammad Rizal Razman, Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad, En. Bisharuzi Omar dan Encik Mohd. Fairus Awang. Objektif utama program ini adalah untuk menerapkan pengetahuan dan kesedaran tentang jejak karbon dalam kalangan pelajar sekolah dan menggalakkan aktiviti literasi alam sekitar yang menjurus kepada merealisasikan kesedaran terhadap jejak karbon. Pada 8 Julai, program ini telah dijalankan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (INTEGOM) yang telah melibatkan 50 pelajar dan lima orang guru pembimbing. Antara aktiviti yang telah dijalankan di INTEGOM adalah hanging garden dan kitar semula minyak masak terpakai. Manakala pada 22 Julai, program jejak karbon ini telah dijalankan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAP Kajang) yang telah melibatkan aktiviti hanging garden, fertigasi dan hidroponik dan melibatkan tujuh orang guru pembimbing dan 40 orang pelajar tingkatan dua hingga empat. Seramai lapan orang ekorelawan UKM juga turut membantu dalam memastikan kelancaran program ini. Selepas program ini dijalankan, pemantauan akan dijalankan setiap dua minggu ke sekolah-sekolah tersebut untuk melihat kemajuan aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan. Di akhir program ini, pelajar-pelajar INTEGOM dan SMAP Kajang akan membuat pembentangan hasil program ini yang akan bertempat di Akademia Siber Teknopolis, UKM pada 14 November 2023.