AI: Pembantu Yang Hebat Atau Terlalu Bergantung Pada Pembuatannya?
Sejak ChatGPT diperkenalkan secara umum pada akhir 2022, Model Besar Bahasa (MBB), atau Bahasa Inggeris dikenali sebagai “Large Language Models (LLMs)”, telah menjadi sebutan ramai. Teknologi model rangkaian neural Kecerdasan Buatan (KB) difahamkan telah memecahkan benteng ujian sempadan manusia-mesin yang sebelum ini difahamkan tidak akan berlaku, iaitu Ujian Turing. Kemunculan MBB ini telah membuka peluang yang luas bagi banyak bidang dan industri, baik untuk kebaikan ataupun keburukan.
Akademia, adalah salah satu industri institusi yang mendapat manfaat daripada pengenalan MBB. Golongan para akademik sering bergantung kepada komunikasi penulisan, termasuklah penerbitan artikel dan penyebaran ilmu pengetahuan. Komunikasi akademik moden dan masa kini adalah didominasi oleh Bahasa Inggeris, dan MBB dilatih dengan menggunakan bahan latihan dalam Bahasa Inggeris. Justeru, MBB memberi satu alatan bantuan yang berkesan dalam penulisan akademik, terutamanya ahli akademik bukan penutur asli Bahasa Inggeris (BPAI). Ini memberi peluang untuk mengatasi halangan yang telah lama wujud dalam bidang akademik, iaitu penolakan kertas draf manuskrip atas alasan penulis adalah BPAI. MBB boleh membantu BPAI dalam penulisan dengan: (1) mengurangkan jurang penguasaan Bahasa Ingerris, (2) Memperolehi dan merumuskan maklumat untuk penulisan, dan (3) menstruktur semula maklumat dan bahasa ecara sistematik supaya penulisan dapat diperkukuhkan.
Dengan pembangunan dan pengunaan yang meluas, malangnya masih tiada polisi tatacara dan etika penggunaan MBB yang menyeluruh, terutamanya dalam bidang akademik. Ini membuka banyak ruang untuk penyalahgunaan dalam akademik, terutamanya kebergantungan yang keterlaluan dan penyalahgunaan MBB dalam penerbitan penulisan saintifik. Terdapat laporan membuktikan mutu kajian sastera kesusasteraan/literatur yang dijana menggunakan MBB, justeru meramalkan peningkatan penggunaan MBB dan kadar penerbitan kajian sastera dalam masa yang terdekat. Malah, terdapat juga beberapa kes berprofil tinggi dimana pengarang bergantung sepenuhnya dengan penulisan dijana oleh MBB. Kejadian-kejadian ini telah membuktikan bahawa integriti akademik dan pemilikan intelek penulisan akademik sedang diancam oleh penggunaan KB ini yang berleluasa. Malangnya, BPAI terdedah kepada penyelewengan ini disebabkan oleh halangan bahasa dan tekanan penerbitan yang berkaitan.
Terdapat sekurang-kurangnya empat tahap di mana MBB boleh memberi impak dalam sesuatu penulisan akademik. Tahap-tahap ini dibezakan berdasarkan sejauh mana penglibatan usaha manusia yang terlibat dalam membuat struktur ayat baharu dan suntingan penulisan berdasarkan pemahaman penulis. Dalam susunan kebergantungan secar meningkat:
-
1) Penulisan sepenuhnya dihasilkan oleh manusia secara asli tanpa melibatkan sebarang bantuan MBB dalam penghasilan karya tersebut.
- 2) Penggunakan MBB untuk membantu memperbaiki struktur ayat dan tatabahasa dalam penulisan, terutamanya untuk pengarang BPAI.
- 3) Melibatkan penjanaan MBB dengan perubahan kecil oleh manusia melalui penambahan maklumat atau membuat parafrasa baharu (yang sering juga dibantu oleh MBB).
- 4) Penulisan yang dihasilkan sepenuhya oleh MBB tanpa pengubahsuaian, dengan penglibatan manusia secara pemberian arahan dan pemindahan output.
Pengarang mengenalpasti bahawa Tahap 3 dan 4 adalah sebagai kemungkinan pelanggaran etika akademik, manakala Tahap 2 pula adalah sebagai alat atau medium bantuan untuk meningkatkan kualiti hasil penulisan yang tidak bergantung sepenuhya kepada hasil yang dijana MBB. Tahap 1 hingga 4 boleh dikenal pasti melalui pengesanan MBB atas talian sejak 2024.
Integriti akademik dalam penggunaan MBB perlulah dipertahankan dalam penyelidikan, penulisan dan peserbitan bagi memastikan kepercayaan terhadap para saintis oleh masyarakat dan pembuat dasar dipelihara. Usaha tangkas memahami risiko kebergantungan berlebihan dan penyalahgunaan MBB, seperti kempen kesedaran, penyampaian mesej, dan pengukuhan institusi integriti akademik perlu selaras dengan pembangunan pesat teknologi MBB. Dengan adanya garis panduan yang teliti dan jelas, para akademik dapat memanfaatkan faedah kemudahan MBB disamping mengelakkan risiko salah laku dalam penggunaan teknologi canggih yang berkembang pesat ini.
Disediakan oleh
Wee Hin Boo (weehinboo@ukm.edu.my)
Norzatul ‘Ezzah Hasan
James Davis Reimer