Bahasa Melayu: Dari Lidah ke Hati Anak Digital
Pernahkah kita terfikir mengapa anak-anak kita kini lebih fasih berbahasa Inggeris, tetapi gagap apabila diminta berbahasa Melayu? Fenomena ini bukan lagi luar biasa, malah semakin membimbangkan. Tidak dinafikan, kebolehan menguasai Bahasa Inggeris amat penting dalam dunia global yang serba moden dan berteraskan teknologi. Namun, apabila keupayaan berbahasa Melayu semakin lemah, kita berdepan risiko besar bukan sahaja dalam peperiksaan seperti SPM, tetapi juga terhadap jati diri dan perpaduan bangsa.
Pada usia muda, kanak-kanak mudah menyerap bahasa daripada persekitaran mereka. Kini, persekitaran itu banyak dibentuk oleh skrin — telefon pintar, tablet dan komputer. Anak-anak lebih terdedah kepada permainan, video serta aplikasi digital yang kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris. Tanpa disedari, mereka membesar dengan penguasaan kosa kata dan sebutan Inggeris yang lancar, tetapi semakin jauh daripada penggunaan Bahasa Melayu yang betul. Akibatnya, ramai pelajar lebih selesa berbual atau menulis dalam Bahasa Inggeris, namun terkial-kial apabila berdepan tugasan dalam Bahasa Melayu. Hal ini bukan sahaja menjejaskan prestasi di sekolah, malah menimbulkan persoalan — bagaimana pula nasib mereka dalam peperiksaan besar seperti SPM pada masa hadapan?
Perlu diingat bahawa Bahasa Melayu ialah mata pelajaran wajib lulus untuk memperoleh sijil SPM. Kegagalan dalam subjek ini boleh menjejaskan banyak peluang pekerjaan di Malaysia, walaupun mereka cemerlang dalam subjek lain. Menguasai Bahasa Melayu di sekolah menengah atas kini semakin mencabar. Ia memerlukan penguasaan tatabahasa yang mantap, keupayaan berfikir secara kritis, serta kepekaan terhadap isu semasa. Tidak mudah untuk memperoleh gred A tanpa usaha yang konsisten dan pemahaman mendalam terhadap bahasa itu sendiri. Di peringkat yang lebih tinggi, penguasaan bahasa adalah proses pembelajaran sepanjang hayat. Bukan lagi semata-mata untuk menghadapi peperiksaan, tetapi untuk kegunaan sebenar dalam konteks yang lebih mencabar seperti komunikasi profesional, penulisan akademik dan interaksi sosial yang berkesan.
Dalam dunia digital yang dikuasai kandungan Bahasa Inggeris, cabaran mengekalkan kecintaan terhadap Bahasa Melayu semakin besar, namun perjuangan ini tidak boleh terhenti. Teknologi seharusnya menjadi sahabat, bukan pesaing dalam memperkasa bahasa kebangsaan. Melalui bahan bacaan digital, video interaktif dan media sosial yang berkualiti, pembelajaran Bahasa Melayu boleh menjadi lebih menarik dan dekat dengan jiwa anak muda. Ibu bapa, guru dan masyarakat perlu bersama memainkan peranan seperti bertutur dengan betul, menggalakkan pembacaan karya tempatan, serta menjadikan Bahasa Melayu sebahagian daripada kehidupan harian. Para pejuang bahasa harus berani meneroka teknologi terkini untuk menghasilkan aplikasi, kandungan kreatif dan platform pembelajaran yang memudahkan anak-anak menguasai bahasa ini. Bahasa Melayu bukan sekadar warisan, tetapi perlu dimartabatkan dalam dunia digital.
Semua ini bermula dengan satu langkah kecil iaitu menuturkannya dengan bangga, di rumah dan di hati. Di sinilah terletaknya peranan besar ibu bapa. Dalam kesibukan mengejar kecemerlangan akademik dan penguasaan bahasa global, kita perlu berhenti sejenak dan bertanya kepada diri sendiri: ke mana arah sebenar usaha kita? Adakah kita lebih berbangga apabila anak fasih berbahasa Inggeris, tetapi gagal menulis surat rasmi dalam Bahasa Melayu dengan baik? Adakah kita lebih menekankan tuisyen Bahasa Inggeris, sedangkan anak masih bergelut memahami maksud peribahasa dalam subjek Bahasa Melayu? Soalan-soalan ini wajar direnungkan dengan jujur. Menguasai Bahasa Inggeris memang penting, tetapi jangan sampai cinta terhadap Bahasa Melayu terpinggir dalam rumah sendiri.
Akhirnya, penguasaan dua bahasa tidak seharusnya dilihat sebagai persaingan, tetapi sebagai keseimbangan yang saling melengkapi. Anak-anak boleh menjadi dwibahasa yang hebat yakni fasih berbahasa Inggeris untuk berinteraksi di pentas dunia dan kukuh berbahasa Melayu sebagai tanda akar budaya dan jati diri bangsa. Namun, jika Bahasa Melayu terus dipinggirkan, generasi muda bukan sahaja akan berdepan kesukaran dalam peperiksaan seperti SPM, malah akan kehilangan hubungan dengan akar budayanya sendiri. Maka, sebelum kita terus mengagumi bahasa asing yang petah di bibir anak-anak, tepuk dada dan tanyalah selera, manakah yang lebih indah untuk didengar daripada tutur mereka: bahasa dunia, atau bahasa jiwa bangsa?
Disediakan oleh:
Dr. Zaliha Wahid
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (JKMP)