Geo-Web Megalitik: Integrasi Web-GIS bagi Eksplorasi Maya Tapak Megalitik Negeri Sembilan
Negeri Sembilan merupakan antara negeri di Malaysia yang kaya dengan tinggalan budaya megalitik, iaitu struktur batu besar yang dipercayai wujud sejak 13-14 Masihi. Tapak-tapak megalitik ini bukan sahaja menyimpan nilai sejarah yang tinggi, malah merupakan warisan budaya yang penting kepada masyarakat setempat. Namun begitu, kekangan akses fizikal, kekurangan dokumentasi dan kurangnya pendedahan kepada masyarakat umum menjadi cabaran utama dalam usaha melestarikan tinggalan ini. Justeru, integrasi teknologi Web-GIS (Geographic Information System berasaskan web) telah membuka peluang baharu untuk mendekatkan masyarakat dengan warisan megalitik secara maya.
Konsep Web-GIS dan Aplikasinya
Web-GIS merujuk kepada penggunaan teknologi GIS yang dicapai melalui pelayar web, membolehkan pengguna berinteraksi dengan data geospasial secara lebih intuitif dan terbuka. Berbeza dengan sistem GIS konvensional yang memerlukan perisian khusus, Web-GIS dapat dicapai pada bila-bila masa dan di mana sahaja dengan adanya sambungan internet. Melalui integrasi Web-GIS, maklumat seperti lokasi tapak, gambar, video, maklumat arkeologi dan naratif sejarah dapat dihubungkan dalam satu platform interaktif.
Geo-Web Megalitik Negeri Sembilan
Laman Geo-Web Megalitik Negeri Sembilan dibangunkan dengan tujuan untuk mendokumentasi dan mempamerkan lokasi-lokasi tapak megalitik di Negeri Sembilan secara maya. Ia merupakan hasil inisiatif kolaborasi penyelidikan antara ahli arkeologi, pembangun web dan GIS di Insitut Alam dan Tamadun Melayu, UKM bersama Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Melalui laman ini, pengguna dapat meneroka peta interaktif yang memaparkan penemuan lebih daripada 4,000 jumlah batu megalit di lebih 100 tapak megalitik, yang lengkap dengan gambar, deskripsi, dan koordinat GPS.
Kelebihan Platform Web-GIS
- Peta Interaktif: Tapak-tapak megalitik dipetakan dengan lapisan data yang boleh diaktifkan atau nyahaktifkan mengikut pilihan kategori seperti daerah, jenis batu, dan keadaan paparan.
- Maklumat Multimedia: Setiap titik pada peta menyediakan akses kepada gambar tapak, video, dan keterangan sejarah yang ringkas tetapi informatif.
- Mesra Pengguna: Antara muka laman web dibina menggunakan kerangka responsif yang sesuai untuk pelbagai peranti, termasuk telefon pintar dan tablet.
- Komuniti: Sumbangan data bagi menggalakkan penglibatan komuniti tempatan amat diharapkan bagi mendokumentasi tapak baharu.
Manfaat Kepada Penyelidikan dan Pendidikan
Geo-Web Megalitik bukan sahaja menjadi medium promosi budaya, malah menjadi sumber rujukan penting kepada penyelidik, pelajar dan pihak berkuasa tempatan. Ia memudahkan kajian lapangan dengan maklumat yang terkini dan mudah dicapai. Di samping itu, ia dapat membantu dalam perancangan pemuliharaan, promosi pelancongan berasaskan warisan, serta kesedaran pendidikan dalam kalangan pelajar sekolah.
Cabaran dan Potensi Masa Depan
Antara cabaran utama dalam hal ini adalah penyelenggaraan data yang berterusan dan memastikan ketepatan serta kesahihan maklumat yang dipaparkan. Selain itu, capaian internet yang tidak seragam di kawasan luar bandar turut menjadi kekangan kepada pengguna di lapangan. Namun, potensi pengembangan platform ini adalah besar, termasuk integrasi realiti maya (Virtual Reality, VR), aplikasi mudah alih berasaskan lokasi, dan tidak terkecuali penglibatan pelajar dalam projek komuniti digital.
Kesimpulannya, Geo-Web Megalitik Negeri Sembilan merupakan aplikasi web yang menonjolkan teknologi maklumat yang dapat digunakan secara kreatif untuk mendekatkan masyarakat dengan sejarah dan warisan tempatan. Integrasi Web-GIS bukan sahaja memperkayakan kaedah dokumentasi dan penyebaran maklumat, malah menyemarakkan semangat pelestarian budaya dalam era digital. Usaha seumpama ini harus diperluaskan ke kawasan warisan lain di seluruh Malaysia bagi memastikan warisan kita terus hidup dalam bentuk yang mudah dicapai dan difahami oleh generasi masa kini dan akan datang.
Disediakan oleh;
Sri Yanti Mahadzir dan Zuliskandar Ramli
Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia
yantie@ukm.edu.my; ziskandar@ukm.edu.my;

