Platform Low-Code/No-Code: Cara Mudah Membina Aplikasi
Platform Low-Code/No-Code (LCNC) semakin menjadi pilihan dalam dunia pembangunan perisian kerana ia memudahkan proses membina aplikasi tanpa memerlukan kemahiran teknikal yang mendalam. Low-Code ialah kaedah pembangunan yang hanya memerlukan sedikit pengekodan untuk fungsi kompleks, manakala No-Code membolehkan aplikasi dibina sepenuhnya tanpa menulis sebarang kod. Kedua-duanya menggunakan antara muka grafik yang membolehkan pengguna mengatur komponen dengan mudah melalui teknik seret dan lepas (drag-and-drop).
Kelebihan LCNC amat ketara, terutama dari segi kepantasan. Aplikasi yang biasanya mengambil masa berbulan-bulan untuk dibangunkan kini boleh siap dalam tempoh beberapa hari atau minggu sahaja. Ini membolehkan idea diuji dengan cepat sebelum pelaburan besar dilakukan. Dari sudut kos pula, LCNC membantu mengurangkan perbelanjaan pembangunan kerana tidak memerlukan pasukan pengaturcara yang besar. Teknologi ini juga mesra pengguna, memberi peluang kepada mereka yang tiada latar belakang IT untuk mencipta aplikasi mengikut keperluan mereka sendiri, sama ada untuk tujuan perniagaan, pendidikan, mahupun kegunaan peribadi.
Fenomena ini turut melahirkan golongan yang dikenali sebagai Pembangun Warga (Citizen Developers), iaitu individu dalam organisasi yang bukan daripada latar belakang teknikal, tetapi mampu membangunkan aplikasi sendiri menggunakan platform LCNC untuk menyelesaikan masalah atau meningkatkan kecekapan kerja mereka. Kehadiran Pembangun Warga ini mengubah cara organisasi membangunkan penyelesaian digital kerana mereka dapat bertindak balas dengan lebih pantas terhadap keperluan perniagaan tanpa perlu menunggu proses pembangunan tradisional yang mengambil masa yang lama.
Penggunaan LCNC kini merangkumi pelbagai bidang. Seorang usahawan kecil, misalnya, boleh membina aplikasi tempahan pelanggan atau pengurusan stok tanpa perlu mengupah pembangun aplikasi profesional. Dalam sektor pendidikan, platform No-Code membolehkan institusi pendidikan membangunkan sistem tempahan bilik mesyuarat atau portal maklumat pelajar dengan lebih mudah. Manakala bagi syarikat besar, platform Low-Code boleh dimanfaatkan dengan menghasilkan prototaip sistem dalaman bagi menguji keberkesanan proses kerja sebelum melancarkan sistem berskala penuh.
Walaupun LCNC menawarkan banyak kelebihan, namun ia tetap mempunyai cabaran tersendiri. Antara yang utama ialah keselamatan dan perlindungan data, terutama apabila aplikasi menguruskan maklumat sensitif seperti data pelanggan atau kewangan. Cabaran lain termasuk kesukaran menyepadukan aplikasi baharu dengan sistem lama yang masih digunakan kerana aplikasi baharu perlu berfungsi serentak dengan pangkalan data dan perisian sedia ada. Selain itu, pengguna juga memerlukan latihan dan asas pengetahuan tentang reka bentuk aplikasi, aliran kerja dan logik perniagaan supaya aplikasi yang dibangunkan benar-benar berkesan.
Masa depan LCNC dilihat cerah dengan kemunculan pelbagai platform popular seperti Microsoft Power Apps, OutSystems dan PHPRunner. Kemunculan platform ini membuka lebih banyak peluang kerana pembangunan aplikasi tidak lagi terhad kepada golongan dengan kepakaran teknikal sahaja. Sebaliknya, ia menjadikan pembangunan aplikasi lebih inklusif, di mana lebih ramai individu dan organisasi dapat terlibat dalam mereka bentuk penyelesaian digital. Dengan sokongan ekosistem yang kukuh, LCNC berpotensi mempercepatkan proses inovasi digital merentasi pelbagai industri.
Secara keseluruhannya, LCNC ialah teknologi yang mengubah landskap pembangunan aplikasi. Ia membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi pencipta penyelesaian digital mengikut keperluan masing-masing tanpa perlu menjadi pakar pengaturcaraan. Dengan sedikit kreativiti dan kefahaman asas, sesiapa pun kini boleh membina aplikasi, sama ada untuk meningkatkan produktiviti kerja, memudahkan urusan harian, atau mencipta peluang perniagaan baharu.
Disediakan oleh:
Suhana binti Zainal
Dalbir Singh.
Center for Software Technology and Management (SOFTAM),
Fakulti Teknologi & Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia.
