Reka Bentuk Grafik sebagai Bahasa Global dalam Era Digital

Dalam dunia digital hari ini, manusia sebenarnya hidup dalam alam visual. Sebelum sempat membaca tajuk sesuatu kandungan, mata sudah pun tertumpu kepada reka bentuknya, penggunaan warna, susun atur, reka letak dan bentuk yang digunakan. Itulah kuasa sebenar reka bentuk grafik. Ia bukan sekadar hiasan yang menampilkan estetika, tetapi menjadi satu bentuk bahasa yang difahami oleh kebanyakan orang di seluruh dunia, walaupun tidak bercakap dalam bahasa yang sama.

Kalau diperhatikan di media sosial, visual muncul di mana-mana. Logo, ikon, poster, infografik semuanya membawa mesej tersendiri. Menariknya, mesej itu boleh difahami dengan pantas walaupun tanpa sebarang terjemahan. Sebagai contoh, ikon hati berwarna merah memberi makna kasih, sayang atau sokongan, manakala tanda amaran berwarna merah biasanya menandakan bahaya. Ini menunjukkan bahawa visual berfungsi sebagai bahasa yang universal dalam komunikasi moden hari ini.

Dalam bidang teknologi maklumat, visual membantu menjelaskan sesuatu yang rumit menjadi lebih mudah. Bayangkan jika semua maklumat tentang keselamatan siber atau teknologi kecerdasan buatan hanya disampaikan dalam bentuk teks panjang, tentu ramai yang tidak akan membacanya. Tetapi apabila maklumat yang sama dipersembahkan melalui infografik atau reka bentuk visual yang jelas, manusia akan lebih cepat faham dan tertarik untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Sebagai seorang yang terlibat dalam bidang reka bentuk grafik, penulis melihat proses ini bukan hanya sekadar soal estetika, tetapi bagaimana visual berperanan membina pengalaman pengguna. Penggunaan warna dan tipografi sebagai contoh, bukan dipilih secara rawak dalam proses mereka bentuk. Warna biru sering digunakan kerana ia memberikan keselesaan, rasa tenang dan kepercayaan. Manakala warna merah pula selalunya mencuri perhatian kerana sifatnya yang dominan. Tipografi moden pula mencerminkan imej yang progresif dan inovatif. Pemilihan semua ini membantu menyampaikan mesej dengan lebih baik dan sesuai mengikut naratif yang digunakan.

Teknologi juga telah mengubah cara kita berkomunikasi melalui reka bentuk. Jika dahulu grafik hanya dalam bentuk cetakan atau paparan skrin dua dimensi,  kini dengan kemunculan AR dan VR, visual menjadi lebih hidup, lebih interaktif dan juga imersif. Pengguna bukan hanya boleh melihat tetapi boleh ‘merasai’ mesej yang hendak disampaikan. Banyak kempen sosial, pendidikan dan perniagaan menggunakan teknologi ini untuk mencipta pengalaman yang lebih bermakna kepada masyarakat global.

Bila bercakap tentang kesan global, visual sebenarnya berperanan menyatukan pelbagai budaya. Sebagai contoh, kempen alam sekitar atau kesihatan awam sering menggunakan reka bentuk yang mudah difahami oleh semua bangsa. Walaupun setiap negara mempunyai bahasa dan budaya berbeza, visual boleh melangkaui semua batasan itu. Satu imej yang kuat mampu memberi kesan emosi yang cukup mendalam yang kadangkala lebih kuat daripada seribu patah perkataan.

Hasil pengalaman dan pemerhatian sendiri di lapangan penulis menunjukkan bahawa reka bentuk grafik bukan lagi perkara sampingan dalam dunia digital yang sering digunakan untuk menampikan kesan estetika semata. Sebaliknya, ia kini  menjadi alat komunikasi utama yang menghubungkan antara teknologi dengan manusia. Dalam dunia yang makin pantas ini, mesej perlu disampaikan dengan lebih cepat dan jelas, dan bahasa visual ialah kaedah paling berkesan untuk melakukannya.

Kesimpulannya, kuasa digital bukan hanya terletak pada teknologi canggih di belakang tabir, tetapi pada cara kita menggunakannya dalam menyentuh hati dan minda orang lain. Reka bentuk grafik umpama suara senyap yang mampu menyatukan manusia, menyebarkan idea dan mencetuskan perubahan besar dalam pemikiran masyarakat.

Disediakan oleh,
Dr. Nor Afian Yusof,
affian@ukm.edu.my
Pusat Pengajian Citra Universiti

(Visited 59 times, 1 visits today)