Sejarah

Kolej Dato’ Onn (KDO) merupakan Kolej Pertama yang ditubuhkan di UKM Bangi selari dengan  pemindahan Kampus UKM ke Bangi. Kolej Pertama telah ditukarkan namanya  kepada Kompleks Siswa A pada 25 November 1977. Pada tahun 1981 Kompleks Siswa A telah dinaiktaraf sebagai Kampung Siswa A atau lebih dikenali sebagai Kamsis A di mana kamsis tersebut telah mampu menampung 1480 orang penghuni.

Pada tahun 1986, KDO sekali lagi menjalani proses penjenamaan apabila kamsis ini dinaiktaraf menjadi Kamsis Dato’ Onn. Kemasyhuran dan ketokohan Dato’ Onn telah menyebabkan namanya diabadikan dalam lipatan sejarah untuk terus dikenang. Justeru itu tanggal 30 Januari 1986 bersamaan 20 Jamadil Awwal 1406 Hijrah kedudukan kolej ini diperkukuhkan dengan perasmian oleh YAB Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ke-3. Ini merupakan detik bersejarah sepanjang penubuhan UKM dan sejarah ini dipahat kukuh di bangunan pentadbiran Kamsis Dato’ Onn. Dengan perasmian inilah, Kamsis Dato’ Onn mula dikenali sebagai Kolej Dato’ Onn. Ia masih gah berdiri di persada UKM sehingga ke saat ini dan telah berjaya melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dan terbilang seiring dengan hala tuju Universiti Kebangsaan Malaysia.