Pengenalan Nic TKP

Nic Teknologi Kesihatan dan Perubatan (NicTKP) merupakan salah satu daripada 12 bidang khusus penyelidikan yang telah dibentuk dan dibangunkan di UKM bagi mendokong pelaksanaan status UKM sebagai universiti penyelidikan. Nic telah mengumpulkan para penyelidik daripada Fakulti Perubatan Pusat Perubatan UKM, Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI), Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Farmasi, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Kejuruteraan dan juga institusi-institusi lain di kampus Bangi yang menjalankan penyelidikan berkaitan dengan kesihatan dan perubatan.

Nic ini telah ditubuhkan pada tahun 2007 dan mempunyai 7 kelompok penyelidikan dan 32 kumpulan penyelidikan. Kelompok ini terdiri daripada Kanser dan Sel Stem, Mekanisme Penyakit, Antioksidan & Metabolisme, Perubatan Regeneratif, Produk Semulajadi Bioaktif, Sistem Kesihatan dan Beban Penyakit, serta Kejuruteraan Bioperubatan. Pendekatan Nic-Kelompok-Kumpulan ini bertujuan untuk menggalakkan serta mengukuhkan kerjasama di antara penyelidikan pelbagai disiplin. Kerjasama penyelidikan juga akan memastikan sumber dan kepakaran digunakan secara optimum serta menghasilkan output penyelidikan yang berimpak tinggi. Prestasi setiap kumpulan dipantau dan dinilai setiap tahun berdasarkan input, proses dan output (termasuk penerbitan terindeks dan harta intelek). Ketua-ketua kelompok telah memainkan peranan penting dalam memacu penyelidikan dan menyelaraskan kumpulan penyelidikan. Ketua-ketua kumpulan juga telah menunjukkan usaha serta komitmen yang tinggi. Setiap kumpulan telah berjaya mendapatkan pembiayaan daripada pelbagai sumber termasuk agensi-agensi tempatan dan antarabangsa. Penerbitan jurnal terindeks yang mempunyai faktor impak dan paten, kekal sebagai petunjuk prestasi utama bagi setiap kumpulan penyelidikan.