Perutusan Pengarah

Ekosistem Nic: Menggalakkan kerjasama dan penyelidikan antara disiplin

 msgdirector2 Saya ingin mengalu-alukan kehadiran anda ke laman web rasmi Nic Teknologi Kesihatan dan Perubatan (TKP). Nic TKP telah menunjukkan prestasi yang baik sejak Ekosistem Nic ditubuhkan kira-kira 7 tahun lalu. Nic ini terdiri daripada para penyelidik dari Fakulti Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Farmasi dan Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI). Terdapat juga beberapa penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan dan fakulti lain tetapi bilangannya adalah tidak banyak.

Para pensyarah dan penyelidik dalam nic ini sering mengeluh tentang beban perkhidmatan klinikal yang perlu mereka laksanakan, maka dengan itu ianya akan menjejaskan masa mereka untuk menjalankan penyelidikan yang berkualiti atau menulis kertas ilmiah. Berikutan masalah ini, terdapat banyak usaha di peringkat fakulti dilaksanakan untuk membantu mereka terutamanya dalam membawa mereka ke dalam kumpulan penyelidikan agar penyelidikan tersebut menjadi ‘kerja kumpulan’ dan bukannya ‘beban individu’. Seperti yang kita sedia maklum, penyelidikan memerlukan kerja berpasukan dan dengan itu ekosistem penyelidikan UKM yang terdiri daripada kelompok penyelidikan dan kumpulan penyelidikan akan membantu menampung keperluan pensyarah yang merasakan mereka dibebani dengan pelbagai beban kerja. Ketua bagi kelompok dan kumpulan penyelidikan mesti membantu membawa lebih banyak pensyarah muda untuk menjadi penyelidik bersekutu dalam setiap kumpulan dan kemudian membantu memberi galakan kepada mereka.

Sejak beberapa tahun yang lalu, Pengerusi Nic berperanan sebagai pengerusi bagi sesi penilaian kertas cadangan dan kumpulan-kumpulan penyelidikan. Ketua-ketua kelompok dan kumpulan telah diberi kuasa untuk membimbing penyelidik dalam kumpulan berkenaan serta menyatukan hasil penyelidikan mereka. Saya percaya bahawa model ini telah berfungsi dengan baik. Namun, secara peribadinya saya berharap agar Pengerusi Nic akan terus dimanfaatkan oleh pihak pengurusan atasan bagi membantu memacu hala tuju dan wawasan strategik untuk universiti.

Tahun lepas ketua kelompok telah bertemu dan membincangkan perihal menyatukan Nic TKP dan terdapat juga cadangan agar satu kelompok baru dan beberapa kumpulan baru ditubuhkan. Kriteria yang diperlukan bagi pembentukan kumpulan penyelidikan yang baru di bawah Nic adalah mempunyai sekurang-kurangnya 3 penyelidik sepenuh masa (atau setara sepenuh masa – FTE), sekurang-kurangnya satu geran penyelidikan dari luar UKM, serta mencapai kedudukan KPPU sekurang-kurangnya 3. Kertas cadangan serta borang KPPU (boleh didapati daripada CRIM) perlu dikemukakan kepada pengerusi Nic dan kemudiannya ia akan disahkan oleh jawatankuasa Nic sebelum dihantar kepada CRIM. Selepas itu, setiap kumpulan penyelidikan akan mendapat pembiayaan awal daripada CRIM. Semua kumpulan penyelidikan yang mencapai kedudukan 3 dan ke atas akan terus mendapat pembiayaan tahunan daripada CRIM dan mereka yang mempunyai kedudukan 4 dan 5 telah dijemput untuk memohon Geran Arus Perdana. Seiring kita melangkah ke tahun 2014 dan telah mengetahui bahawa UKM telah mengekalkan status Universiti Penyelidikan (RU), kita mempunyai cabaran yang sukar di hadapan. Tahun ini, peruntukan dana RU telah dikurangkan kepada hanya RM50 juta dan kami juga telah diminta untuk ‘melakukan lebih banyak dengan kurang’. Perkara ini bukan mudah bagi beberapa disiplin penyelidikan. Pada pendapat saya, ianya agak mustahil kerana kos reagen dan bahan guna habis meningkat setiap tahun. Adalah sangat menggalakkan apabila melihat ramai penyelidik di dalam nic ini yang memohon dana LRGS, FRGS dan yang terkini, skim pembiayaan TRGS. Ini adalah satu petanda yang baik. Marilah kita berharap dan berdoa agar akan ada lebih banyak dana bagi tujuan penyelidikan di masa akan datang. Jika tidak, marilah kita mencabar diri kita untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan, industri, kementerian lain, dan mungkin juga membida geran antarabangsa. Selamat maju jaya buat semua.