100 Orang Pelajar Tingkatan Enam Mulakan Pengajian di UKM

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 11 Jun 2025 – Seramai 100 orang pelajar Tingkatan Enam memulakan Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan pertama projek rintis yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mewujudkan program tingkatan enam di universiti awam.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Halim Gafor berkata UKM selaku institusi yang menggalas peranan program rintis ini komited memperluas akses kepada pendidikan berkualiti tinggi bagi pelajar Tingkatan Enam dengan menyediakan peluang pembelajaran yang lebih menyeluruh dan berimpak melalui persekitaran universiti.

“UKM komited memperluas akses kepada pendidikan berkualiti tinggi bagi pelajar prauniversiti khususnya Tingkatan Enam dengan menyediakan peluang pembelajaran yang lebih menyeluruh dan berimpak melalui persekitaran universiti.

“Usaha ini turut diperkukuh melalui kolaborasi pintar antara KPM dan KPT yang membuka ruang sinergi antara sekolah dan universiti dalam membentuk ekosistem pembelajaran yang lebih bersepadu,” katanya.

Menurutnya, hala tuju utama kolaborasi ini adalah untuk memastikan pelajar Tingkatan Enam diberi ruang yang luas untuk membina potensi sebenar mereka.

“Hal ini seterusnya menjadikan mereka calon-calon pelajar universiti yang matang, berwibawa dan mempunyai kejelasan hala tuju kerjaya.

“Inspirasi di sebalik program ini ialah untuk menyediakan laluan akademik yang inklusif namun mencabar yang tidak sekadar menilai keupayaan pelajar melalui peperiksaan tetapi juga melalui penglibatan dalam penyelidikan, inovasi dan tanggungjawab sosial.

“Saya yakin dengan usaha kolaboratif seperti ini kita mampu melahirkan generasi pelajar Tingkatan Enam yang bukan sahaja bersedia menempuh alam universiti tetapi juga bersedia untuk menjadi penyumbang kepada tamadun Malaysia yang berilmu, berdaya saing dan beretika,” katanya.

Beliau berkata demikian di Minggu Hala Tuju Pelajar Tingkatan Enam Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam Tahun 2025. Program ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Tuan Wong Kah Woh.

Leave a Reply