Oleh Salleh Sulieman
Foto Institut Informatik Visual
KANGAR, 11 Jun 2025 – Kerjasama antara Institut Informatik Visual (IVI) dengan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCOEE) berjaya menarik minat anak-anak dari Perlis dalam memahami teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui program AI Summer Camp TVET Se- Malaysia 2025.
Menurut Pengarah IVI, Prof. Madya Dr. Rabiah Abdul Kadir, penglibatan IVI dalam AI Summer Camp TVET ini adalah sebahagian daripada komitmen institut untuk memastikan pendidikan AI tidak hanya terhad kepada peringkat universiti, malah turut meresap ke dalam sistem pendidikan awal.
“Institut Informatik Visual (IVI) turut memainkan peranan penting sebagai agensi advokasi teknologi AI dengan menyediakan modul latihan, tenaga pakar, dan bahan bantu pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap pelajar sekolah rendah hingga menengah.
“Kami mahu pastikan generasi muda di seluruh Malaysia, termasuk kawasan luar bandar seperti Perlis, mempunyai akses kepada teknologi termaju dan memahami asas AI secara menyeluruh. Ini adalah bentuk advokasi sebenar – menyampaikan ilmu, membina minat, dan membuka laluan kepada masa depan yang lebih pintar,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengerusi FCOEE, Prof. Emeritus Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata penganjuran program ini terhasil daripada perbincangan dengan Ketua Pengarah Politeknik setelah melihat kejayaan pelaksanaan program ini di peringkat universiti di Malaysia pada tahun lepas.
“Kick-off program ini akan dibuat di Perlis pada 4 Julai 2025 dan akan dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis,” katanya.
Mengulas tentang impak pelaksanaan program ini, beliau percaya Perlis tidak akan ketinggalan dalam bidang teknologi AI dan robotik meskipun kedudukan negeri ini yang dianggap jauh.
“FCOEE di bawah Majlis Agama Islam Perlis telah mengorak langkah dan melaksanakan program seperti ini di peringkat sekolah rendah dan menengah.
“Impak program AISC ini amat besar. Ia tidak seharusnya dilihat pada aspek pertandingan semata-mata kerana apa yang penting adalah mempertingkat penegetahuan mereka dalam bidang AI serta bidang-bidang yang berkaitan.
Program AISC ini telah dilancarkan di peringkat universiti di Malaysia pada tahun lepas dan berjaya memberi pendedahan kepada anak-anak negeri Perlis.