19 Pelajar Seni Bina UKM Anjur Aktiviti Sukarelawan di Thailand

Berita dan foto oleh Rebecca Sim Lee Sze (FKAB)

TRANG, THAILAND – Walaupun ramai rakan sekuliah mengambil kesempatan untuk bercuti akhir semester dengan berlibur, namun 19 orang pelajar dari Jabatan Seni Bina dan Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memilih untuk menjadi sukarelawan dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di Trang, Thailand.

Kumpulan pelajar yang diketuai oleh Ramanathan Sanmugawil ini menjayakan program tersebut bersama 27 pelajar program Seni Bina, Prince Songkla University (PSU), Thailand.

Ramanathan berkata program Mobiliti Komuniti UKM-PSU 2024 (ASTALOKA) itu adalah projek komuniti yang bertujuan untuk mengembangkan kebolehan dan kemahiran sosial pelajar, mengukuhkan perpaduan belia dalam berkhidmat kepada masyarakat global dan meningkatkan kemahiran untuk pelajar terlibat dalam kerja sukarela.

“Aktiviti bukan akademik ini membantu pelajar meningkatkan kemahiran insaniah dan pembangunan kesejahteraan mereka.

“Peluang ini tidak terhad kepada pelajar UKM sahaja, tetapi juga kepada pelajar PSU yang menjadi tuan rumah kepada acara ini.

“Penglibatan mereka menjadi penghubung antara kita (wakil komuniti Malasyia) dengan komuniti Trang. Semuanya untuk memupuk pemikiran kritis, kreativiti, kepimpinan, kerja berpasukan dan pertumbuhan peribadi yang lebih penting,” katanya.

Beliau berkata program yang dianjurkan oleh Kelab Reka Bentuk Inovasi dan Teknologi Senibina (KRITIS), UKM itu diadakan bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehan pelajar, selain mempelajari bidang baharu untuk menjadikan program itu berjaya.

Katanya, sepanjang empat hari di Trang, iaitu bermula 4 hingga 8 Mac 2024, pelbagai program telah dilaksanakan seperti mengadakan aktiviti tanggungjawab sosial bersama 88 orang pelajar sekolah Ban Thung Khai, meneroka cara yang menyeronokkan dalam penggunaan bahasa Inggeris dan memberi inspirasi kepada masyarakat sekeliling dalam membantu meningkatkan kesedaran kepentingan pendidikan kepada masyarakat tersebut.

Antara aktiviti lain yangdiadakan adalah Germs be Gone, Dust be Gone, Commemorate Our Love, Eco-warrior dan Art with Hearts.

Leave a Reply