UKM Sedia Saringan Mata dan Cermin Mata Percuma Kepada Masyarakat Sulawesi Tenggara

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Fakulti Sains Kesihatan

SULAWESI, 15 Mac 2024 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan ujian saringan penglihatan, pemeriksaan komprehensif optometri dan sumbangan cermin mata percuma kepada masyarakat Sulawesi Tenggara, Indonesia.

Program khidmat masyarakat ini dilaksanakan melalui Klinik Optometri Bergerak (KOB) dengan kerjasama Fakultas Kesehatan Masyarakat (FKM), Universitas Halu Oleo (UHO), Indonesia.

Menurut Penyelaras KOB Prof Madya Dr Haliza Abdul Mutalib, khidmat pemeriksaan dan penyaringan mata dan kesihatan melibatkan kaum ibu dan bapa di kampung nelayan, Desa Pesisir Wawatu.

“Pemeriksaan kesihatan umum telah dikendalikan oleh mahasiswa FKM, manakala pemeriksaan mata menggunakan aplikasi MyMata untuk menyaring penyakit mata seperti pterigium dan katarak pula diuruskan oleh mahasiswa FSK, UKM.

“Ubat titis pelembab mata juga telah diberikan secara percuma dan ditunjukkan cara penggunaannya khusus pada kaum ibu dan bapa yang majoritinya mengalami masalah mata kering akibat pendedahan melampau pada sinar UV.

“Penduduk turut diberikan konsultansi ringkas tentang kepentingan penjagaan mata,” katanya.

Sementara itu, sumbangan cermin mata percuma adalah kepada pelajar Sekolah Dasar Negeri 2 Bokori, kata Prof Madya Dr Haliza.

“Pelajar yang memerlukan cermin mata untuk pembetulan rabun telah diberikan sama ada cermin mata siap pasang atau cermin mata kitar semula yang sesuai.

“Cermin mata kitar semula adalah satu projek kerjasama antara UKM dan Konan University, Kobe, Japan, bagi kegunaan khidmat masyarakat.

“Satu sesi perkongsian ilmu telah disampaikan dengan tujuan memberi kefahaman dan tunjuk ajar kepada guru sekolah mengenai teknik dan prinsip ringkas penyaringan mata untuk kepentingan pelajar-pelajar mereka.

“Pihak KOB telah memberi secara percuma lima unit Carta Snellen (alat untuk pengukuran tahap penglihatan mata) untuk kegunaan sekolah tersebut,” katanya.

Tambahnya, program ini bukan sekadar memberikan khidmat penyaringan dan pemeriksaan mata, malahan telah dapat mewujudkan satu kebersamaan dalam menjalinkan hubungan rapat antara peserta.

Program ini juga telah mendapat sokongan padu dari Pusat Hubungan Antarangsa UKM (UKM Global), Kedutaan Republik Indonesia di Malaysia dan Atase Pendidikan, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Leave a Reply